Jumaat, 8 Ogos 2014

[KEMASKINI] PKR lapan negeri mahu Azmin sebagai calon tambahan MB Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi PKR di lapan negeri menyokong Azmin Ali untuk turut dicalonkan sebagai sebagai Menteri Besar Selangor selain daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata Ketua Penerangan PKR Selangor Suhaimi Shafiei. 
 
Suhaimi menegaskan PKR Selangor menyokong pencalonan Wan Azizah namun berharap Azmin boleh dipertimbangkang sebagai calon alternatif sekiranya PAS membantah pencalonan Presiden PKR itu. 
 
"Jelas kita hormat pandangan akar umbi dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor berharap semasa di Mesyuarat Pakatan Rakyat, nama Azmin dibawa bersama.
 
"Mana tahu PAS tidak setuju dengan Wan Azizah, jadi sudah ada pilihan kedua," kata beliau kepada Antarapos. 
 
"(Namun) akhirnya sesiapa sahaja yang diputuskan,  kami PKR Selangor akan akur dan terima. Kami berhak mengemukakan cadangan balas kerana ia melibatkan negeri kami," kata  Shuhaimi.
 
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan atas nama PKR Selangor,  Suhaimi dan Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shaari mendedahkan lapan pengerusi PKR negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak menyokong untuk nama Azmin turut dikemukakan sebagai calon tambahan untuk jawatan MB. 
 
Mereka memberikan persetujuan itu pada mesyuarat Majlis Pimpinan PKR namun badan itu memutuskan untuk hanya mengemukakan nama Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
"Ramai pemimpin Selangor berpendirian PKR harus nama seorang lagi ADUN Selangor dibentangkan...sebagai calon kedua MB berdasarkan sokongan yang diterima (oleh Azmin)," kata kenyataan yang diperakui Suhaimi dan Amiruddin itu. 
 
Ditanya kenapa Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin semalam tidak menyatakan sokongan PKR negeri itu terhadap Azmin, Suhaimi membayangkan ia sebagai kesilapan yang tidak disengajakan.
 
Beliau berkata kenyataan menyokong Azmin ditampilkan sebagai calon alternatif telah dihantar kepada Zuraida namun beliau telah membaca draf awal yang mengandungi catatan tambahan. 
 
"Tersalah cetak agaknya... Saya yang sediakan kenyataan itu dan emelkan kepada Zuraida. Apa yang beliau baca adalah draf awal. Isinya sama, cuma ada bahagian yang cadang dua nama diangkat," ujarnya lagi.
 
Kenyataan yang dihebahkan oleh Suhaimi hari ini menegaskan Azmin layak untuk jawatan MB kerana berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat, serta telah lama berkhidmat bersama Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim serta terlibat dalam kepimpinan parti.

Tiada ulasan: