Rabu, 6 Ogos 2014

'Kami enggan komen isu MB, tunggu selesai mesyuarat 10 Ogos' - Pemimpin PAS

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan PAS mengambil sikap serta pendirian berdiam diri dan enggan memberi penjelasan lanjut berhubung polemik pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
 
Rata-rata pemimpin PAS yang dihubungi Antarapos mengambil sikap berdiam diri dan lebih selesa membicarakan isu lain kerana enggan membiarkan isu ini terus menerus menjadi polemik.
 
Malahan mereka juga bertegas akan hanya membuka mulut selepas mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos ini yang akan membincangkan kemelut politik di Selangor melibatkan isu untuk menggugurkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
"Saya tak nak komen apa-apalah, tunggulah 10 Ogos nanti.
 
"Saya tak nak komen apa-apa buat masa ini," kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Siti Mariah Mahmud.
 
Untuk rekod, kemelut politik di Selangor meruncing apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengan bulan lalu menamakan isterinya yang juga presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid.
 
Bagaimanapun, cadangan itu mengundang pelbagai reaksi di kalangan komponen pakatan sendiri termasuk ada yang menyokong Khalid.
 
Krisis Menteri Besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam Pakatan Rakyat selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau pun tidak.
 
Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja juga enggan menjawab apa jua persoalan berkaitan dengan desakan PKR yang mahu menggugurkan Khalid. 
 
"Saya tidak akan jawab apa jua soalan yang berkaitan dengan isu itu.
 
"Saya tak akan jawab, nanti bila perkara itu sudah selesai mungkin saya akan komen," katanya.
 
Selain itu pemimpin-pemimpin PAS juga enggan mengulas laporan akhbar berbahasa Cina bahawa pemimpin parti itu menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk mengakhiri krisis calon Menteri Besar Selangor.
 
Akhbar itu turut menyebut bahawa Khalid tidak mempunyai bantahan jika Dr Idris dicalonkan untuk menggantikan beliau.
 
Pemimpin PAS enggan buka mulut, elak isu diperbesarkan
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli juga memberi respons serupa dengan alasan tidak mengetahui perkara itu.
 
"Tiada dalam pengetahuan saya, saya tidak tahu," katanya mengulas laporan mengatakan PAS menamakan wakil rakyat PKR sebagai calon alternatif untuk kerusi Menteri Besar Selangor.
 
Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Zaharuddin Mohamad berkata beliau akan memberikan komen selepas mesyuarat pucuk pimpinan pada 10 Ogos nanti.
 
"Setakat ini saya tak nak beri komen apa-apa.
 
"Biarlah selepas mesyuarat pada 10 Ogos dulu," katanya.
 
Ditanya mengenai desakan berterusan Anwar terhadap PAS, menantu kepada presiden parti Islam itu turut mengambil sikap berdiam diri.
 
"Pasal itu pun saya tak mahu komen lagi," katanya.
 
Turut enggan mengulas polemik itu ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.
 
"Saya tidak tahu...saya tak tahu pasal itu.
 
"Maaf," jawabnya ringkas.
 
Krisis di Selangor bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar Pakatan tersebar.
 
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

Tiada ulasan: