Ahad, 24 Ogos 2014

Henti berbalah, buktikan Selangor dinamik



      






  HARAKAH DAILY



Bekas Menteri Besar Selangor (1986-1997), Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjawab tentang kemelut Menteri Besar Selangor. Ikuti temubual ringkas wartawan Harakah, ARIF ATAN pada 21 Ogos lalu.

WARTAWAN: Pandangan Tan Sri tentang keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat, 17 Ogos lalu? MUHAMMAD:

Mesyuarat akhirnya memutuskan Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dan Azmin (Ali) sebagai calon Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Itu keputusan yang bagi saya sudah diperhalusi secara baik dan teliti oleh Jawatankuasa PAS.

Tahniah saya ucapkan kerana dapat menjawab tanda-tanya rakyat tentang pendirian PAS.

Nampak jelas, keputusan PAS itu menjadi satu keputusan yang mengukuhkan dan menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada Pakatan Rakyat.
 
Dakwaan kononnya PAS telah membuat U-Turn?

Saya fikir tidak berbangkit soal ‘u-turn’ lainlah seperti isu Adun Terengganu yang tak jadi meninggalkan Umno bulan Mac lepas. Keputusan PAS sebelum ini pun ketika Khalid itu masih lagi ahli Pakatan.

Tapi kemudiannya apabila beliau tidak lagi mewakili mana-mana komponen dalam Pakatan, jadi PAS telah membuat keputusan bijak menolak Adun Pelabuhan Kelang itu sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Timbul isu jantina ekoran pencalonan Dato’ Seri Wan Azizah?

Hal ini tidak patut timbul, terpulang pada budi bicara Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Saya pasti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ada pertimbangan yang bijaksana terhadap cadangan rakyat ini.

Saya juga ada membaca penjelasan beberapa pakar perundangan dan perlembagaan berkenaan gender ini dalam isu pelantikan Wan Azizah.

Mereka memberitahu kepada kita secara jelas, syarat pelantikan menteri besar dalam Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 tak menjejaskan peluang Adun Kajang itu menjadi Menteri Besar yang baharu.

Bagaimana Tan Sri melihat keputusan Jawatankuasa PAS itu masih lagi menyaksikan senario seperti rumah siap pahat berbunyi dalam kalangan ahli PAS?

Saya fikir elok ahliahli PAS memperkukuh parti dan maju ke depan meneruskan perjuangan parti. Tugas pimpinan parti pula beri penjelasan bukan mengapikan keadaan.

Banyak lagi perkara dan kerja tertangguh yang mesti dibereskan jika mahu dilihat relevan dalam ‘mood’ perubahan rakyat.

Tindakan mengundur ke belakang hanya merugikan PAS dan Pakatan Rakyat. Hal-hal yang sudah lepas tiada guna kita mahu kelahi sesama parti. Ini hanya merugikan. Hentikanlah.

Pandangan berbeza tentang kemelut Menteri Besar Selangor ini mengundang perpaduan atau perpecahan dalam PAS?

Saya fikir PAS sekarang ini lebih kukuh lagi. PAS meraikan kepelbagaian pendapat dengan kemuncaknya ialah keputusan daripada pimpinan tertinggi.

Jadi, cakap siapa lagi mahu didengar kalau perbezaan pandangan hanya menempah perpecahan dan kegagalan.
Saya tidak rasa ahli-ahli PAS terlalu naif dalam memahami strategi berpolitik.

Rumusan dan harapan Tan Seri selepas ini?

Selepas PAS membuat keputusan yang mantap, kerajaan negeri perlu digerakkan semula. Ini yang mungkin ramai mulai alpa sebab hanyut dengan perasaan. Emosional hanya mahu mengekalkan Khalid tak membantu survival Pakatan Rakyat.

Majoriti sokongan Adun pun sudah ada pada Wan Azizah.

Semestinya kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat ini perlu meneruskan agenda untuk membangunkan negeri Selangor. Paling penting menjadikan negeri ini sejahtera dan contoh suri teladan kepada negerinegeri lain sebagai sebuah kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dinamik dan progresif.

Tiada ulasan: