Isnin, 25 Ogos 2014

Di Selangor Belum Selesai, Perbalahan Pas Dan PKR Merebak Ke Pengkalan Kubur Pula

shahbudindotcom



Menjelang Sultan Selangor bakal membuat keputusan untuk menyelesaikan kemelut pertukaran Menteri Besar dalam waktu yang terdekat ini, rupa-rupanya masih ada yang belum selesai mengenainya. Keputusan Majlis Pimpinan PR pada 17 Ogos lalu yang akhirnya menetapkan hanya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim, seperti tidak dipersetujui oleh Pas apabila 13 Adunnya enggan menandatangangi akuan bersumpah mengenainya.

Pas dilaporkan enggan menandatangani akuan bersumpah yang menyokong Dr Wan Azizah sebagai satu-satunya calon Menteri Besar dan mahu memutuskannya dalam mesyuarat ahli jawatankuasanya pada esok, 25 Ogos.

Sebagaimana yang dilaporkan media dalam talian, Pas sebelum ini bersetuju Khalid digantikan dan telah menyetujuinya dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin Ali. Oleh kerana Azmin menarik diri, PR akhirnya hanya mencalonkan Dr Wan Azizah saja.

Oleh itu Pas seolah-olah terpaksa akur dengan keputusan PR itu walau bukan dengan sepenuh hati. Keengganan Pas menandatangani akuan bersumpah pula kerana berpendapat, perkara itu tidak termasuk dalam persetujuannya sebelum ini.

Lantaran itu, mesyuarat lain perlu diadakan. Sanggup pula Pas mengadakan dua kali mesyuarat dalam tempoh hanya seminggu sedangkan jika bersetuju menandantangani akauan bersumpah itu, kemelut ini lebih mungkin diakhiri dengan baik dan aman.

Sekali lagi nampaknya, ketika perlumbaan hampir tamat dan sedang berada di selekoh akhir, Pas cuba mencari simpang lain pula.

Walaupun tanpa akaun bersumpah 13 Adun Pas ini, Dr Wan Azizah sudah mendapat majoriti sokongan iaitu 30 Adun tetapi ia juga boleh menjadi alasan kepada Sultan Selangor untuk membuat kesimpulan bahawa penggantian Khalid oleh Dr Wan Azizah masih tidak menjanjikan kestabilan politik berbanding jika 13 Adun Pas secara rasmi dan bertulis turut menyokongnya.

Tanpa bukti hitam putih sokongan Adun Pas itu, Sultan Selangor mungkin lebih mempertimbangkan diadakan pilihanraya negeri bagi mencari penyelesaian muktamad Menteri Besar Selangor.

Ditambah jika cadangan membubarkan DUN turut menjadi pertimbangan utama Khalid ketika mengadap Sultan, pilihanraya negeri mungkin menjadi penyelesaian paling logik untuk merungkai kekusutan yang sudah berlarutan sekian lama ini.

Perbalahan, tuduh-menuduh serta berbalas kenyataan berhubung isu Menteri Besar itu juga merebak ke dalam Kongres PKR yang diadakan semalam di Shah Alam. Beberapa perwakilan PKR mula mengungkit dan mendedahkan pelbagai perkara mengenai hubungan kedua-dua parti itu semasa pilihanraya umum lalu.

Cerita kecil hati, tak puas hati, sabotaj, tiada kerjasama dan sebagainya didedahkan satu persatu berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Mengekori kekusutan isu Menteri Besar Selangor yang masih belum selesai dan saling berprasangka yang makin melebar itu pula ialah pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubur di Kelantan berikutan kematian Adunnya, Noor Zahidi Omar akibar kanser, baru-baru ini.

Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, kerusi itu ditandingi oleh PKR dan calonnya tewas dengan kekurangan 1763 undi serta mengikut amalan biasa, ia akan kekal ditandingi oleh PKR tetapi Pas sudah pun meminta secara terbuka agar calon parti mereka pula diberi peluang.

Sayap Pemuda dan Wanita Pas Kelantan sudah pun bersuara agar calon Pas dibenarkan bertanding di kerusi tersebut berdasarkan keyakinan mempunyai lebih peluang untuk menang berbanding jika calon PKR yang bertanding.

Barangkali kerana marah disebabkan dua Adunnya di Selangor telah dicuri oleh PKR untuk menandatangani akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebelum ini, maka Pas ingin membalas dendam dengan meminta kerusi Pengkalan Kubur ini.

Dengan merebaknya perbalahan yang masih belum selesai di Selangor ke Pengkalan Kubur pula, hubungan Pas dan PKR ini tiada ubahnya seperti suami isteri yang suka bergaduh sepanjang masa. Asal bercakap dan membuka mulut saja, pasti mengata antara satu sama lain, tidak kira di mana saja.

Walaupun ada juga pasangan suami isteri yang suka bergaduh ini memperolehi anak setiap tahun, tetapi yang selalunya ia akan berakhir dengan perpisahan. Pergaduhan secara umumnya tidak menambahkan kemesraan, sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan.

1 ulasan:

bat8 berkata...

Tuan,

Nampaknya PAS sudah tikam belakang rakan-rakan dalam Pakatan untuk kali kedua. Takpelah. Mereka masih mahu menubuhkan kerajaang perpaduang dengan UMNO di Selangor.

Biarkan depa yang pakai serban dan begitu faqeh ugama berkhianat. Tak kemana pun. Bukti dah ada. Kesemua kepala-kepala khianat ini termasuk TGHH semua dari puak UG dalam PAS Terengganu. Apa jadi dengan kerajaan PAS Terengganu? Hanya sepenggal. Kepala-kepala ini juga yang menjadi tonggak kerajaan PAS Terengganu sepenggal.

Cara terbaik menyelesaikan isu di Selangor ialah dengan mengadakan PRN. Sekarang majoriti berada di tangan DSWA. Jika tuanku Sultan berpegang kepada undang-undang, tiada s3bab DSWA tidak dilantik menjadi MB. Melainkan tuanku berpihak kepada UMNO dan PAS bagaimana Sultan Perak bertindak dulu.

Cara terbaik ialah mengadakan PRN. Biar rakyat Selangor ajar PAS cukup-cukup. 8ni dah bukan politik Islam tetapi dah politik syaitan.