Isnin, 25 Ogos 2014

Bergantung kebijaksanaan Pakatan tangani krisis MB




DETIK DAILY


PAS dan Pakatan Rakyat mempunyai tugas berat untuk menjelaskan perkara sebenar mengenai krisis Menteri Besar Selangor kepada rakyat dengan apa yang berlaku. Sementara menunggu tamatnya kemelut ini, PAS menerusi Jawatankuasa Pusatnya telah membuat keputusan bijak pada 17 Ogos lalu, di samping turut menegaskan pandangannya pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada hari yang sama. Ikuti penjelasan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai perjalanan mesyuarat itu ketika ditemubual Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA pada 21 Ogos lalu.

WARTAWAN: Adakah Abang Mad puas hati dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu? 

MOHAMAD SABU: Itu keputusan sebulat suara, dibuat melalui perbincangan. Saya puas hati dengan mesyuarat itu. Saya juga puas hati dengan keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat itu kerana ia adalah keputusan sebulat suara.

Jadi semua pihak dalam PAS sekarang mestilah patuh kepada keputusan itu kerana ia adalah keputusan sebulat suara.

Melalui mesyuarat itu, PAS bersetuju mencadangkan dua nama dari KeADILan bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor...

Ia memang satu keputusan yang bijak. Dalam hal ini, PAS sebenarnya hanya boleh memberikan cadangan. Keduadua nama yang dicadangkan oleh PAS itu adalah pemimpin KeADILan, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden KeADILan sendiri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Azmin Ali. PAS memberikan cadangan untuk perbincangan seterusnya.

Apa yang dilakukan oleh PAS itu adalah satu langkah yang baik, yang bijak supaya Pakatan Rakyat dapat terus beroperasi, terus berada dalam muafakat yang kekal.

Daripada dua nama itu, Pakatan Rakyat telah memilih untuk menghantar satu nama sahaja ke istana iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Saudara adalah wakil PAS dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 17 Ogos lalu. Boleh ceritakan perkara ini?

Pakatan Rakyat menghantar satu nama sahaja ke istana kerana Azmin Ali sendiri yang mengambil sikap mematuhi deklarasi atau tandatangan yang telah dibuat yang bersetuju mencalonkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam mesyuarat itu memang saya hadir. Bersama-sama saya bagi mewakili PAS dalam mesyuarat itu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali; Naib Presiden PAS iaitu Dato’ Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

KeADILan diwakili Ketua Umumnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung parti itu, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Manakala DAP diwakili Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Ketika mesyuarat berlangsung, kita daripada PAS mempertahankan dua nama yang telah dicadangkan dan dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Tetapi apabila Azmin tarik diri daripada dicalonkan sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim atas komitmennya kepada parti, Pakatan Rakyat telah menghantar satu nama, iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah sahaja ke istana.

Setelah keputusan itu dicapai, proses selanjutnya akan diserahkan kepada pasukan peguam Pakatan Rakyat. Dalam pasukan itu, PAS diwakili Asmuni Awi. KeADILan dan DAP ada wakil mereka masing-masing dalam pasukan itu.

Adakah turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden tentang bilakah proses selanjutnya itu akan dilakukan oleh pasukan peguam?

Tidak disentuh bilakah proses itu akan dilakukan oleh pasukan peguam dalam mesyuarat itu. Jadi, perkara itu terserahlah kepada pasukan peguam sendiri. Ia bergantung kepada pertimbangan mereka sendiri. Merekalah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara itu.

Terdapat desas desus yang mengatakan istana tidak mahu menerima pencalonan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Ia tidak dapat dipastikan. Apa pandangan saudara mengenai perkara ini?

Saya tidak tahu mengenai perkara ini, hanya ikut laporan media. Saya juga tidak mahu membuat provokasi mengenai perkara ini. Dalam mesyuarat 17 Ogos lalu pun tak sentuh perkara ini.

Jika istana tolak Dato’ Seri Dr Wan Azizah, apakah Azmin yang akan menggantikan beliau atau akan diambil tindakan undang-undang?

Saya tak mahu membuat apa-apa spekulasi lagi mengenai perkara ini.

Adakah krisis MB Selangor ini ada kemungkinan akan berakhir dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor?

Bagi saya, tak perlu diadakan pilihan raya kerana kita mempunyai majoriti 2/3 dalam Dun Selangor. Pakatan Rakyat sudah mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam Dun Selangor. Jadi pilihan raya memang tak perlu diadakan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku sekarang.

Sebaliknya, masalah yang berlaku di Selangor sekarang hanya perlu diselesaikan dengan peralihan kuasa secara demokrasi dan raja berperlembagaan.

Jadi, Pakatan Rakyat perlulah mengadakan perbincangan segera bagi membolehkan berlakunya peralihan kuasa Menteri Besar Selangor sekarang secara demokrasi dan raja berperlembagaan, bukannya melalui pilihan raya atau PRN.

Bagaimana dengan mood rakyat Selangor ketika ini?

Rakyat sekarang terpingapinga dengan apa yang berlaku.

Perkara ini turut dilaporkan media. Apabila isu ini selesai nanti, kita akan membuat penjelasan kepada rakyat mengenai apa yang berlaku.

Namun rakyat Selangor sebenarnya masih bersama dengan Pakatan Rakyat. Ini dapat kita kesan menerusi perkembangan semasa dan laporan pelbagai pihak yang bertanggungjawab. Perkara ini juga terbukti apabila tiada pun ahli PAS yang keluar PAS, ahli KeADILan yang keluar KeADILan dan ahli DAP yang keluar DAP.

Mampukah Pakatan Rakyat mengulangi kejayaan besar yang dicapai dalam PRU13 lalu jika PRN ditakdir diadakan?

Seperti yang saya katakan tadi, untuk menyelesaikan masalah di Selangor sekarang bukannya menerusi pilihan raya, tetapi hanya dengan peralihan kuasa secara demokrasi dan raja berperlembagaan.

Jadi jika pilihan raya, tumpuan kita bukannya PRN, tetapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Bagi saya, Pakatan Rakyat mempunyai potensi besar untuk terus menang di Selangor dalam PRU akan datang. Malah, kita akan membuat kemenangan yang lebih baik pada PRU14 nanti.

Tiada ulasan: