Selasa, 5 Ogos 2014

Artikel Teoh Beng Hock: Kit Siang beri keterangan kepada polis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung artikelnya mengenai kematian Teoh Beng Hock yang diterbitkan laman web The Rocket 16 Julai lalu.
 
Memetik laporan Rocketkini, keterangan diambil oleh ASP Wan Tiew Kwang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew selama 90 minit, bermula jam 10.45 pagi tadi.
 
Pada 21 Julai , Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung artikel ditulisnya bertajuk ‘Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock’.
 
Khalid mendakwa Kit Siang cuba mempengaruhi fikiran rakyat bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu dibunuh apabila mempersoalkan mengapa pihak yang terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap.
 
Dalam artikel itu, Lim membangkitkan ketidakadilan dalam kes kematian Teoh Beng Hock di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila pembunuhnya kekal bebas dan tidak dihukum.
 
Kit Siang turut mempersoalkan hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibuat secara sambil lalu menyentuh peranan dan tanggungjawab SPRM dan dibiarkan melakukan apa sahaja untuk menjadi sebahagian daripada usaha menutup sebab dan keadaan kematian Beng Hock.
 
Dalam satu kenyataan pada 22 Julai, Kit Siang mempersoalkan arahan siasatan tersebut dan mencabar Khalid mengemukakan di bahagian mana dalam artikelnya berbaur hasutan.

Tiada ulasan: