Jumaat, 14 September 2012

Serah mandat: Noh patut tuding kepada Najib

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Noh perlu menghormati Kerajaan Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya berasingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor sebagai respons kepada kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor itu.

Noh dalam komentarnya menyatakan keengganan Selangor mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) serentak dengan pilihan raya Persekutuan menunjukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat takut menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih pimpinan yang dikehendaki.

“Dalam keadaan PRU13 semakin hampir, Datuk Seri Noh semakin lantang bersuara. Hampir semua isu beliau ulas seolah-olah beliau adalah pemimpin yang cerdik dan serba boleh,” kata Riduan kepada Harakahdaily.

Katanya, bagi rakyat yang memahami isu sebenar, akan mentertawakan kenyataan Noh itu.

“Nampak sangat beliau bercakap mengikut hawa nafsu dan secara semberono tanpa fakta yang kukuh.

“Beliau dengan mudah menuduh Pakatan Rakyat takut menyerahkan mandat kepada rakyat,” ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau Noh menuding jari dan menuduh pemimpin tertingginya, Datuk Seri Najib kerana PM sendiri yang merahsiakan tarikh PRU13 dari pengetahuan rakyat.

Katanya, apa makna merahsiakan tarikh PRU jika tidak kerana PM takut kalah PRU kepada PR.

“Jika beliau dan BN berani untuk serahkan mandat kepada rakyat, maka tidak perlu disembunyikan tarikh PRU yang menjadi tanggungjawab seluruh rakyat.

“Biar rakyat tahu daripada awal dan membuat persiapan awal untuk menghadapinya. Mengadakan PRU seperti serkap jarang adalah tindakan penakut pemimpin yang tidak mahu hadapi kenyataan,” katanya.

Selain itu, kata beliau Noh seperti naif atau pura-pura tidak mengerti realiti sebenar sistem pilihan raya di Malaysia yang menjadi pertikaian banyak pihak.

Beliau berkata, dalam keadaan daftar pemilih yang begitu mencurigakan apabila ditemukan sejumlah ratusan ribu pengundi ragu dalam senarai daftar pemilih khususnya di Selangor, penambahan pengundi mendadak di Dun atau Parlimen tertentu secara tidak munasabah, serta dakwaan wujudnya pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

“Apakah dalam keadaan begini wajar diadakan PRU13 di Selangor serentak dengan kerajaan persekutuan?” tanya Riduan.

Justeru, ujarnya Noh juga perlu menghormati kerajaan Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya berasingan kerana dapat memberikan peluang dan tempoh yang lama buat SPR membersihkan daftar pemilih di negeri itu.

Tambahnya, telah banyak aduan, laporan, pertemuan, memorandum dihantar bersama bukti dan fakta untuk SPR membetulkan keadaan.

“Apa yang penting, PR mahu pastikan rakyat Selangor menikmati pilihan raya yang benar-benar adil, demokratik dan telus. Mereka tidak mahu kerajaan yang dipilih nanti adalah kerajaan yang menipu rakyat.

“Rakyat juga  tidak mahu terus ditipu dan diperkudakan oleh sebuah sistem pilihan raya yang penuh kepura-puraan dan penyelewengan,” ujarnya.

Tiada ulasan: