Rabu, 26 September 2012

PKR Selar Iklan Fiksyen “Krisis Air Selangor”





SHAH ALAM  : Pemimpin PKR hari ini terus menyelar usaha untuk memburukkan imej kerajaan negeri dengan iklan yang kononnya bekalan air di Selangor tidak cukup.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkata tindakan itu hanya akan menambah kebencian rakyat kepada gabungan Umno-BN yang beliau dakwa membiayai iklan tersebut.

Manakala naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata penggambaran itu dan kenyataan Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini mengesahkan yang Umno-BN menggunakan taktik kotor untuk rampas Selangor.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata keburukkan Umno-BN terserlah apabila ia memperalatkan orang awam dan pelakon yang dipercayai diupah bagi ‘menjayakan’ video tersebut.

“Sebagai sebuah parti ‘antik’ yang mempunyai pelan politik, AMK negeri merasakan Umno-BN sedang benar-benar goyah dan hanya menunggu masa untuk dikuburkan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, AMK negeri sedia menyambut sebarang bentuk kempen politik yang matang, tetapi menolak jika Umno-BN bersikap penakut dengan menggunakan orang awam.

Semalam, sebuah produksi dikesan menjalankan penggambaran berbentuk rekaan yang kononnya wujud krisis bekalan air di Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di sebuah pangsapuri yang terletak di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Iklan pendek yang berdurasi 40 saat itu memaparkan adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.
Beberapa orang di antara mereka berlakon dengan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Tujuan iklan tersebut seolah-olah untuk membentuk satu persepsi yang bekalan air di Selangor kerap menghadapi ganguan. Walhal di lokasi pengambaran tersebut, tidak ada langsung masalah bekalan air.
Sebelum ini, Umno-BN cuba wujudkan persepsi bahawa Selangor dilanda krisis air kerana bekalan tidak mencukupi.

Ekoran itu, Kerajan Selangor telah membuktikan bahawa bekalan air mentah lebih daripada mencukupi.
Masalahnya berpunca daripada pengedaran, di mana, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak menyelengara tugasnya dengan baik sehingga ada pangsapuri di Sri Kembangan dan Cheras mengalami ganguan air terawat.

Sementara itu, Nurul Izzah, apabila ditemui di Dewan Rakyat, menyelar kenyataan Adnan yang Pahang akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor sekiranya Projek Langat 2 tidak diteruskan.

Nurul Izzah berkata, usaha bersungguh-sungguh Umno-BN itu bagi memastikan projek yang mampu memberi pulangan tinggi kepada mereka dapat dijalankan seperti Projek Langat 2.

Tiada ulasan: