Jumaat, 7 September 2012

Pakar sejarah: Sang Saka sah wujud

KL TODAY

 

Bendera negara boleh ditukar jika kerajaan mahukan, kata pengerusi eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (MHS), Tan Sri Omar Hashim hari ini.

“Kerajaan baru biasanya akan menukar bendera seperti yang kita saksikan di Libya dan Iraq.“Jadi, jika berlakunya pertukaran kerajaan, mereka boleh menukar bendera,” kata Omar.

Beliau menambah, walaupun bendera Malaysia pada hari ini dipilih kekal sebagai simbol kerajaan, ia sepatutnya dihormati dan menjadi satu-satunya bendera ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Pengerusi persatuan itu memberi respon ketika ditanya oleh pemberita berkenaan kemunculan semula bendera kontraversi ‘Sang Saka Malaya’ sewaktu sambutan ambang Merdeka di Dataran Merdeka minggu lalu.

Acara tersebut dianjurkan oleh gabungan NGO yang diberi nama Gabungan Janji, diketuai oleh sasterawan negara, Datuk A Samad Said.“Bendera Sang Saka merah putih, adalah bendera yang mewakili kesultanan Melayu.

“Kita boleh saksikan ini pada kurun ke 13 dan 14.

“Ini adalah fakta sejarah,” kata Omar.

Omar menambah tidak ada masalah untuk menjadikan Sang Saka untuk tujuan kajian, sambil menyebut ini dilakukan oleh Farish Noor yang mengkaji tentang ini secara meluas.

“Tidak ada masalah untuk mempamerkan bendera untuk tujuan pendidikan dan kajian, tetapi ia tidak seharusnya digunakan untuk tujuan politik,” kata Omar.

Omar juga menambah, jalur merah dan putih jelas dilihat dalam bendera kesultanan Melayu lama seperti kesultanan Majapahit.

Individu yang bertanggungjawab mengibarkan bendera alternatif ketika himpunan Gabungan Janji pada malam sambutan ambang Kemerdekaan telah membuat pengakuan dan merasakan bendera alternatif yang di bawa pihaknya layak dikibarkan atas nilai sejarah yang terdapat pada bendera berkenaan.

Melalui blog www.singaselatan.blogspot.com miliknya, individu berkenaan mengakui dia dan rakannya bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera tersebut, namun menafikan daripada mewakili mana-mana parti politik kerajaan mahupun pembangkang.

“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada sang saka Malaya, kerana sang saka Malaya yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini,” jelasnya melalui entri di blognya itu.

Tiada ulasan: