Selasa, 11 September 2012

FOMCA : Kenaikan Ron 97 Jejas Pengguna




SHAH ALAM  : Kerajaan Pusat perlu meneliti semula kenaikan harga petrol gred RON97 sebanyak RM0.30 yang diumumkan baru-baru ini.

Penurunan ini perlu bagi mengurangkan bebanan orang ramai untuk menanggung kos sara hidup yang makin meningkat kini.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan- Persatuan Penguna Malaysia(Fomca), Mohd Yusoff Abdul Rahman berkata kenaikan ini akan memberi kesan kepada golongan tertentu terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga petrol memberi kesan kepada peningkatan kos pengangkutan, ditambah dengan kenaikan harga barangan yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Walaupun kita mendapati ramai yang menggunakan RON95, tetapi ramai juga yang beralih ke RON 97 kerana mendapati kualitinya lebih baik untuk perjalanan jauh.

“Ini menyebabkan kos perjalanan atau pengangkutan meningkat. Saya berharap Kerajaan Pusat perlu melakukan sesuatu supaya ia tidak memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga harus bijak mengatur perbelanjaan supaya tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga petrol serta harga barang di pasaran.

Menurutnya, pengingkatan harga petrol dan harga barang tidak dinafikan mula memberi kesan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Kesannya memang mula dirasai. Saya sarankan Kerajaan Pusat perlu ambil tindakan untuk mengurangkan kesan kepada pengguna,” katanya lagi.

Untuk kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, Kerajaan Pusat secara senyap-senyap menaikkan harga petrol gred RON97 kepada RM0.30 menjadikan harganya mencecah RM3 seliter.

Kali terakhir pengumuman rasmi dibuat ialah pada bulan Julai apabila Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan pengurangan RM0.20 harga seliter.

Sejak September 2009, harga RON97 harga ditentukan oleh apungan terurus sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan untuk mengetatkan jumlah subsidi kerajaan.

Sebagai kompromi, Kerajaan Pusat memperkenalkan petrol gred RON95 dengan harga RM1.85 seliter.

Ia dinaikkan kepada RM1.90 seliter pada bulan Disember 2010 dan sejak itu tidak berubah.

Tiada ulasan: