Khamis, 20 September 2012

Filem ‘Innocence of Muslim’ masih boleh dilihat di YouTube

 
KUALA LUMPUR — Walaupun Google Malaysia baru-baru ini mendakwa mereka telah menyekat filem “Innocence of Muslim” bagi rakyat Malaysia, filem tersebut masih boleh dilihat di YouTube.

Menurut tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insider, dengan hanya menulis “Innocence of Muslim Trailer” atau “Muhammad Movie Trailer” di bahagian carian YouTube, klip filem tersebut sudah boleh diakses.

Carian dengan menaip “Innocence of Muslim Trailer” akan membawa anda ke ke klip ini http://www.youtube.com/watch?v=W1MYYfCg2X4 manakala “Muhammad Movie Trailer” pula akan membawa ke klip ini http://www.youtube.com/watch?v=gORgR7UiXgY.

“Video telah disekat di Mesir dan Libya, negara berlakunya protes ganas terhadap video tersebut.
“Kita mempunyai garis panduan masyarakat yang jelas, dan apabila video melanggar peraturan mereka, kita keluarkan.

“Di samping itu, kita telah melancarkan YouTube tempatan dan jika kita diberitahu bahawa video menyalahi undang-undang di negara itu, kita akan menyekat akses kepada maklumat itu selepas kajian menyeluruh,” kata ketua komunikasi dan hal ehwal awam Google Malaysia Zeffri Yusof baru-baru ini.

Minggu lepas 16 badan bukan kerajaan, termasuk Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), berhimpun dihadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) menuntut agar kerajaan AS bertanggungjawab ke atas filem yang bertajuk “Innocence of Muslim”, yang dikatakan menghina Islam.

Video tersebut disiarkan di YouTube pada 1 Julai, dengan menggunakan nama “Sam Bacile”.

“Dalam video tersebut, mereka menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai gila seks, kaki perempuan dan gay, dan ini jelas menghina agama Islam.

“Kami tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Libya dan Mesir, tetapi kami tidak mahu maruah agama kami dihina oleh sekelompak Kristian yang ekstremis.

“Mereka yang membuat video ini tahu bahawa mereka akan mencetuskan kemarahan umat Islam, supaya dapat mencetuskan ketegangan,” kata Aminuddin dalam sidang media selepas menghantar memorandum.

Menteri penerangan komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem “Innocence of Muslim” daripada senarainya.

“Itulah bagaimana mereka tidak sensitif,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama minggu lalu.

Rais berkata kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Esok selepas solat Jumaat, pemuda Umno dan PAS akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur untuk menentang penghinaan yang dilakukan terhadap agama Islam yang merupakan agama rasmi kepada Malaysia.

Tiada ulasan: