Rabu, 11 April 2012

WWF GESA HARAMKAN MAKAN TELUR PENYU

SABAH KINI


TABUNG Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia cawangan Terengganu menggesa kerajaan meminda Akta Perikanan 1985 secepat mungkin bagi mengharamkan aktiviti memakan telur penyu di seluruh negara.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu WWF Terengganu, Rahayu Zulkifli berkata sehingga kini telur penyu masih dijual secara berleluasa di negeri ini walaupun sedia maklum haiwan itu diancam kepupusan.

"WWF bimbang seandainya kerajaan lewat mengharamkannya, penyu mungkin akan pupus kerana jumlah pendaratan empat spesis penyu iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu agar dan penyu lipas di perairan pantai Terengganu semakin berkurangan.

"Setakat ini, hanya telur penyu belimbing sahaja sudah diharamkan, namun WWF mahu pengharaman memakan telur penyu ini meliputi semua spesis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehingga kini, telur penyu masih boleh didapati dengan mudah terutama di Pasar Payang yang menjadi tumpuan pelancong.

Malah, ia menjadi bualan mulut di kalangan pelancong yang teringin merasai keenakan telur penyu itu supaya datang ke Terengganu kerana ia boleh dibeli dengan mudah, berbanding Sabah atau Sarawak kerana kedua-dua negeri itu telah mengharamkan penjualan dan memakan telur penyu.

Rahayu turut meminta pihak berkuasa agama Islam supaya mencari nas atau dalil yang sahih untuk mengharamkan manusia memakan telur penyu dari pelbagai aspek.

"Saya pernah berjumpa seorang imam yang mengatakan haram untuk manusia makan telur penyu kerana kita tahu haiwan itu sangat kritikal dan boleh pupus bila-bila masa.

"Kami sebagai pencinta hidupan berharap perkara ini dapat dihuraikan dengan lebih lanjut oleh pihak berkuasa bagi membolehkan akta sedia ada dipinda segera," katanya.

Pada tahun lepas, Malaysia telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengurusan dan pemuliharaan penyu rantau Lautan Hindi dan Asia Tenggara (IOSEA) yang bertujuan melindungi spesies terancam itu, tapi tiada tindakan susulan dilakukan.

WWF juga telah menyerahkan memorandum yang mempunyai fakta kukuh mengenai betapa pentingnya pengharaman penjualan dan memakan telur penyu kepada kerajaan tahun lepas. (Bernama)

Tiada ulasan: