Sabtu, 21 April 2012

Wan Ahmad Dicabar Letak Jawatan





SHAH ALAM : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengulas bahawa sebanyak RM30 juta wang pembayar cukai perlu dibelanjakan sekiranya Selangor tidak mengadakan pilihan raya umum serentak dengan kerajaan pusat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata  Wan Ahmad tidak sepatutnya mengulas soal pilihanraya berasingan di negeri Selangor atau pun tidak kerana itu bukan bidang tugas beliau dan SPR.

Kenyataan seperti itu perlu dilontarkan oleh pemimpin parti politik seperti Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

“Tugas SPR dan individu seperti Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah menjayakan pilihanraya mengikut tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Kenyataan ini menyerlahkan lagi belang beliau yang sebenarnya dan membayangkan seolah-olah beliau adalah Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang boleh memberikan pandangan politik terhadap mana-mana parti politik,” ujar Riduan dalam kenyataan medianya.

Tambah Riduan , kenyataan Wan Ahmad itu menambah curiga rakyat bahawa SPR adalah badan yang tidak bebas, serta masih terkongkong dengan pengaruh parti pemerintah.

Sepatutnya Wan Ahmad mengambil perhatian mengapa Pakatan Rakyat mahu menangguhkan pilihanraya di negeri Selangor.

“Beliau sepatutnya berterima kasih kepada Pakatan Rakyat yang berterusan menyemak daftar pemilih sehingga mampu menimbulkan beberapa keraguan. Sejumlah 42,051 pengundi ragu daripada senarai daftar pemilih dapat dikesan yang perlu kepada pembersihan,” ujarnya lagi.

Riduan menjelaskan,ini belum termasuk jumlah peningkatan undi mendadak di beberapa buah Parlimen di Selangor dan negeri-negeri lain, serta dakwaan wujudnya task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“DPPM mensarankan Datuk Wan Ahmad Wan Omar supaya berterus-terang kepada rakyat bahawa beliau sememangnya berpihak kepada parti pemerintah.

DPPM juga mencabar Datuk Wan Ahmad supaya meletak jawatan dan bertanding dalam PRU ke 13 atas tiket BN. Buktikan beliau berpengaruh dan mampu memenangi PRU ke 13. Ini lebih baik daripada terus berselindung di sebalik baju SPR,” tegas beliau.

Tiada ulasan: