Isnin, 23 April 2012

Usah pertikai hak Selangor

Wartawan Sinar Harian

Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail

SHAH ALAM – Keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara bersama atau berasingan dengan Pusat adalah hak Kerajaan Negeri yang tidak sepatutnya dipertikaikan Barisan Nasional (BN).
 
Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail berkata, mengadakan pilihan raya berasingan tidak bermakna PR takut kepada BN sebaliknya sejak dahulu lagi PR ada pendirian sendiri dalam memastikan PRU13 dilaksanakan dengan telus dan hak rakyat tidak dinafikan disebabkan penipuan dalam pilihan raya itu nanti.
 
“Kenapa beliau (Noh) nak mendesak PR dalam perkara tersebut kalau BN pun boleh mengubah pendirian yang kita inginkan. Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan, jelas menunjukkan Noh kekeringan idea.
 
“Apakah disebabkan kenyataan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sebelum ini menyebabkan BN akan mengadakan PRU13 selepas Jun? Adakah semata-mata ingin mengadakan PRU bersama Selangor, mereka tidak berani mengumumkan tarikh sebenar,” katanya mengulas Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa PR takut dengan kebangkitan BN Selangor.
 
Rodziah berkata, Noh perlu melihat mengapa PR menolak untuk mengadakan pilihan raya bersama di mana perkara sama ditimbulkan di Parlimen termasuk perjumpaan Kerajaan Negeri dengan pihak SPR baru-baru ini.
 
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Ahmad Yunus Khairi malah menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai alasan tersendiri yang kukuh mengapa beliau membuat keputusan bahawa PR terutamanya Selangor tidak menyertai PRU13.
“Kita rasa masih ada ketidaktelusan dalam senarai daftar pemilih, kita mahu memberikan keadilan kepada seluruh rakyat yang mengundi.
 
“Dalam Dun Sijangkang, sejak keluar senarai daftar pemilih banyak yang berjaya di bantah sebab kita meraguinya. Lebih kurang 6,000 pengundi baru di Sijangkang, ada yang kita sangsi, lebih kurang 50 hingga 100 (setiap kawasan) tiada alamat lengkap,” katanya.

Tiada ulasan: