Khamis, 12 April 2012

UKRC dinasihat bayar premium atas tanah 5.27 ekar

Ini kerana tanah itu masih milik kerajaan negeri dan kelab itu telah menggunakan premis berkenaan tanpa membayar sewa atau cukai pintu sejak tahun 1950an lagi.



SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menasihatkan Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) agar membayar premium mengikut kadar semasa atas tanah seluas 5.27 ekar di Hulu Kelang yang digunakannya selama ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerangkan bahawa ini kerana tanah itu masih milik kerajaan negeri dan kelab itu telah menggunakan premis berkenaan tanpa membayar sewa atau cukai pintu sejak tahun 1950an lagi.

Dalam satu sidang media di sini petang tadi, beliau memberitahu UKRC telah memohon hak milik tanah tersebut dan kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara ini.

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai empat orang itu termasuk Orang Besar Daerah Gombak, Dato’ Paduka Raja Wan Mahmood Pawan

Teh mengesyorkan agar UKRC diberi hak milik kepada tapak bangunan kerana ia memberi faedah kepada ahli.

“Kerajaan negeri telah menasihati UKRC supaya mengutamakan kepentingan orang ramai dan membina dewan baru dengan menggunakan wang premium yang dibayar kelab itu nanti untuk kegunaan penduduk setempat, termasuk bukan ahli UKRC.

“Jawatankuasa tersebut mahu tanah itu dikekalkan kepada orang ramai dan kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan budi bicaranya memberi tapak bangunan kepada UKRC dengan mengenakan bayaran premium mengikut harga semasa.

Kajian awal


Menurutnya, Jawatankuasa tersebut telah membuat kajian awal dengan mengadakan pendengaran awam dan mengemukakan penemuan serta syor kepada pentadbiran negeri untuk tindakan selanjutnya.

Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuk ahli UKRC, pegawai kerajaan khususnya dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan orang awam.

Dalam satu laporan yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada 15 Mac 2012, jawatankuasa itu mendapati UKRC ada membuat permohonan untuk mendapat hak milik terhadap tanah lapang kepada pemungut Hasil Tanah Kuala Lumpur pada 14 Februari 1958.

Tetapi hanya diluluskan sebagai tanah lapang untuk Kelab Dewan Masyarakat (Club Community Hall) pada 12 Julai 1958.

Jawatankuasa juga telah diberitahu bahawa nama asal UKRC ialah Dewan Masyarakat dan Kelab Rekreasi Kuala Ampang sebelum menukar nama kepada UKRC untuk diwartakan pada 6 November 2001 dan menggugurkan nama Dewan Masyarakat.

Sejak itu UKRC mengenakan bayaran masuk dan yuran keahlian serta tidak membenarkan orang awam menggunakan premis tersebut tanpa kebenaran khas.

Jawatankuasa siasatan berpendapat bahawa tanah itu diwartakan sebagai tanah lapang pada 19 Oktober 2004 dan menjadi bukti tambahan tanah itu tidak pernah dikeluarkan hak milik kepada UKRC atau mana-mana pihak.

Tiada ulasan: