Khamis, 12 April 2012

Timbalan menteri pertahan Kolej Universiti Lincoln

'Walaupun program pengajian perubatan tersebut dilaksanakan di universiti yang tidak diiktiraf oleh JPA, ia masih mematuhi semua aspek kriteria dan kualiti yang ditetapkan.'



KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mempertahankan tindakan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) memberi kelulusan kepada Kolej Universiti Lincoln (LUC) untuk melaksanakan program perubatan peringkat sarjana muda di tiga universiti Ukraine.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar mengenai kelulusan yang diberikan kepada Kolej Lincoln untuk membuat program perubatan di tiga universiti, Ukraine yang mana ketiga-tiga universiti tidak diiktiraf oleh Jawatankuasa Perkhidmatan Awam (JPA).

“Walaupun program pengajian perubatan tersebut dilaksanakan di universiti yang tidak diiktiraf oleh JPA, ia masih mematuhi semua aspek kriteria dan kualiti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal Program Pengajian Perubatan (JTPPP),” kata beliau.

Jawatankuasa (JTPPP) tersebut dianggotai oleh lima agensi kerajaan Malaysia iaitu Pengajian Tinggi Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia serta Majlis Perubatan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam.

Rosnah menambah bahawa program tersebut dijalankan secara ‘stand alone’ di mana dalam konsep ‘stand alone’ pengajar kurikulum, kemudahan hospital serta pentadbiran program pengajian adalah berasingan daripada program institusi pengajian universiti luar negara yang berkenaan.

Tidak diktiraf

Sejak kebelakangan ini program pengajian perubatan luar negara yang bakan dijalankan oleh LUC pada September ini menjadi tanda tanya selepas mendapati ketiga-tiga universiti yang dipilih oleh LUC tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Malah, ada beberapa aduan daripada bekas penuntut perubatan di Ukraine, berkata bahawa LUC lebih bertindak sebagai ejen tengah untuk mencari pelajar kepada universiti yang berkenaan.

Salah satu aduan yang dibangkit oleh Micheal Jeyakumar di Parlimen ialah sebelum ini yuran untuk pergi ke universiti ini ialah RM130,000 tetapi untuk kursus yang sama melalui LUC menjadi RM200,000.

Bagaimanapun, Rosnah tidak menjawab soalan tersebut malah menambah bahawa program ‘stand alone’ bukan sesuatu yang baru.

“Program perintis yang telah berjaya yang dilaksanakan adalah program perubatan, International Medical School oleh Management and Science University of Bangalore di India yang dimulakan pada tahun 2005 dan kumpulan pertamanya telah pun mendapat pengiktirafan penuh lima tahun pada tahun 2011,” katanya.

Tiada ulasan: