"Exco nak dapat satu sen pun susah, ni nak bagi dekat negeri-negeri lain," kata exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali sambil diiringi gelak ketawa rombongan Selangor bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.
Sebelum itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim cuma tersenyum ketika diajukan soalan sama ketika ditemui pemberita selepas sesi membincangkan isu pembersihan daftar pemilih.
"Saya tak nak jawab perkara itu," jawapnya ringkas.
Majlis Pimpinan Pakaran semalam mencadangkan Selangor supaya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk pilihan raya umum ke-13 sehingga daftar pemilih negeri itu tidak dibersihkan.
Timbalan Bendahari MCA Selangor Lee Ban Seng pula hari ini mendakwa Pakatan cuba menggunakan sumber Selangor untuk membiayai program parti di negeri lain.
Beliau mendakwa kerajaan Selangor pimpinan PKR seolah-olah menjadi "mesin ATM" kepada Pakatan.
Sementara itu, seorang lagi exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail pula hanya menambah ringkas dengan berkata: "MCA memang macam itu."
Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan negeri membincangkan soal pilihan raya berasingan dengan Pusat, Khalid berkata perkara tersebut tidak dibincangkan.
"Kami tidak membincangkan perkara tersebut... Ia bukan keputusan SPR (untuk putuskan buat berasingan)," kata Khalid.
Pertemuan rombongan kerajaan negeri yang turut disertai Speaker Datuk Teng Chang Khim berlangsung selama lebih dua jam berakhir 5.30 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan