Sabtu, 14 April 2012

Sinar Harian sedia jadi tuan rumah debat 3 Mei

G MANIMARAN

Sinar Harian sedia jadi tuan rumah

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menerima tawaran Sinar Harian mahu bertindak sebagai penganjur debat membabitkan beliau dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), awal bulan depan.

Tengah hari tadi, Khairy, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Rembau, menyahut pelawaan Rafizi untuk berdebat menyentuh isu PTPTN yang hangat dibincangkan sekarang.

Kira-kira seminggu sebelum pertemuan dengan Rafizi, Khairy akan berdebat dengan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga mengenai pembaharuan pilihan raya.

“Saya ada menerima tawaran daripada Sinar Harian, daripada (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf) Datuk Hussamuddin Yaacub petang tadi mengatakan kesediaan mahu menjadi penganjur debat kami, saya setuju dan mengalu-alukan tawaran ini, dan saya akan berbincang dengan Khairy,” kata Rafizi kepada Sinar Harian Online lewat petang tadi.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, Kumpulan Media Karangkraf, yang menerbitkan Sinar Harian, bersedia untuk menjadi “tuan rumah” bagi debat-debat yang boleh memanfaatkan rakyat negara ini.

“Itu sebabnya apabila ada persetujuan kedua-dua Khairy dan Rafizi mahu berdebat, Sinar Harian menawarkan diri sebagai penganjur... butiran akan dibincangkan bersama dengan kedua-dua mereka selepas ini,” kata beliau.

Dalam mesej menerusi akaun Twitter tengah hari tadi, Khairy menyahut cabaran Rafizi untuk berdebat mengenai isu pemansuhan pinjaman PTPTN.

Dalam respons segera kepada cabaran Rafizi, Khairy berkata: “Saya setuju untuk berdebat dengan Rafizi pada 3 Mei mengenai PTPTN.”

“OK, 3 Mei. Saya lapang. Tempat dan format terserah pada anda. Maklum saya,” kata Khairy menjawab Rafizi.

Dalam satu kenyataan media yang dihantar sekitar 11.40 pagi tadi, Rafizi mempelawa Khairy berdebat dengan beliau berkaitan isu PTPTN.

Rafizi berkata, beliau mempelawa Ketua Pemuda Umno itu berdebat mengenai isu PTPTN selepas pelawaan berkaitan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) awal tahun ini tidak menjadi kenyataan.

Menurut Rafizi, cabaran ini dibuat berikutan kenyataan Khairy yang dibuat melalui laman Twitter Rabu lalu bahawa penghapusan PTPTN adalah sesuatu yang boleh dilakukan, tetapi persoalannya adakah ia wajar.

Khairy menyerahkan lokasi debat mengenai PTPTN dan formatnya kepada Rafizi untuk menentukan.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Rafizi memberitahu Sinar Harian Online bahawa beliau gembira dengan persetujuan yang diperlihatkan oleh Khairy untuk berdebat.

“Debat seperti ini cara yang positif bagi kita membincangkan isu-isu menyentuh rakyat.

“Misalnya dalam soal PTPTN, kami di Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno sudah ada kerangka masing-masing. Jadi, kerangka ini harus diketengahkan kepada rakyat supaya dapat dihalusi dan dinilai oleh rakyat,” katanya merujuk kepada perbincangan anjuran Pakatan Rakyat pada Selasa lalu dan rundingan meja bulat kendalian Pemuda Umno pada Selasa dan Rabu lalu.

Katanya, oleh kerana Khairy telah memilih tarikh debat, dan menyerahkan kepadanya bagi menentukan lokasi dan format, perkara itu akan dihalusi dalam waktu dekat.

“Mengenai format, saya akan syorkan format debat pemilihan presiden Amerika Syarikat, dan ia akan dihalusi kemudian dan dibincang bersama Khairy,” katanya lagi.

Tiada ulasan: