Sabtu, 7 April 2012

Shahrizat perlu cagar harta untuk elak lupus aset NFC

Oleh: Ahmad Fadli KC

KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil memberi jaminan peribadi berupa cagaran hartanya untuk mengelakkan aset-aset NFC yang sepatutnya dibekukan, dilupuskan NFC.

Rafizi membuat kenyataan itu selepas National Feedlot Corporation (NFC) dan kerajaan Umno BN tetap berdiam diri susulan pendedahan KEADILAN tentang cubaan melupuskan hartanah milik NFC semalam.

“Kita desak kerajaan minta Shahrizat bagi ‘personal guarantee’ supaya hartanya dijadikan cagaran. Setakat ini tiada apa-apa cagaran (daripada NFC atau Shahrizat),” kata Rafizi.

Menurutnya lagi, langkah itu perlu kerana berdasarkan perjanjian NFC dengan kerajaan Umno, risiko NFC hanya terhad kepada RM1 juta sahaja walaupun pinjaman yang dibuat berjumlah RM250 juta.

“Sekarang kita tahu syarikat ini akan ditutup. Menurut perjanjian, liabiliti NFC terhad kepada jumlah yang mereka sendiri laburkan sahaja iaitu RM1 juta sahaja,” katanya.

Rafizi sebelum ini turut mendedahkan wang RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat keluarga Shahrizat itu tidak disertai sebarang jadual pembayaran balik dan ia menimbulkan keraguan sama ada pinjaman itu akan dituntut semula oleh kerajaan atau pun tidak.

Beliau seterusnya memaklumkan KeadilanDaily yang satu pengumuman susulan akan dibuat pada 9 April depan berhubung cubaan NFC untuk melupuskan hartanah mereka.

Beliau juga menegaskan akan terus melakukan pendedahan demi pendedahan kerana ia pendekatan terbaik untuk memaksa NFC berhadapan dengan masyarakat.

“Kalau kita terus pendedahan begini kita tahu dia tiada pilihan kecuali berhadapan dengan rakyat,” katanya.

KEADILAN semalam mendedahkan syarikat NFC cuba mengatur urusniaga bagi melupuskan hartanah-hartanah miliknya yang sepatutnya dibekukan.

NFC kini dilaporkan sedang memuktamadkan penjualan tiga hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd (Insun Development) pada harga RM3 juta.

Ia dibuat sebaik sahaja Shahrizat mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak lama dahulu.

Tiada ulasan: