Jumaat, 20 April 2012

Serangan Samseng Dikecam Rakyat






KUALA LUMPUR: Tindakan serangan ganas terhadap peserta yang berkhemah di Dataran Merdeka menerima kecaman pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr D Micheal Jeyakumar berkata tindakan ganas itu tidak dapat diterima memandangkan peserta yang berhimpun itu secara aman dan tidak menggganggu ketenteraman awam.

” Penggunaan kekerasan terhadap peserta yang berhimpun  secara aman bukan tindakan yang bijak, mereka sepatutnya dapat berbincang dan berdebat secara baik berhubung pemansuhan PTPTN dan bukan cara seperti ini (keganasan),” kata Jeyakumar yang sama turun padang melawat dan memberi sokongan kepada para peserta.

Sementara itu Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa yang melawat ke tempat peserta berkhemah menegaskan mengharapkan keselamatan akan dipertingkatkan dengan berharap Unit Amal PAS akan berkawal menjaga keselamatan kepada para peserta.

“Mana-mana yang dekat-dekat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dapat hadir meramaikan dan memberi sokongan kepada para peserta,” kata Mujahid.

Menurut seorang saksi Then Mee Lie berkata rakannya yang terlibat sama juga mengecam mendakwa

 
bahawa salah seorang daripada kumpulan yang membuat serangan itu terdiri daripada individu yang membuat serangan terhadap ceramah di Jalan Kebun Bunga,Klang baru-baru ini.

“Kebanyakkan peserta yang menyerang kami adalah daripada kalangan orang muda, dan kami akan terus bertahan di sini bagi menyokong mahasiswa di sini,” katanya.


Menurut Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini ketika kekasaran itu berlaku mereka kumpulan mahasiswa tidak bertindak balas dan menyaksikan kumpulan itu merosakkan khemah dan peralatan milik mereka.

” Kami akan bertahan sehingga 28 haribulan ini,kita membawa harapan rakyat sebenarnya yang mahukan PTPTN itu dimansuhkan dan memperjuangkan pendidikan percuma,” katanya yang ditemui.

Dalam kejadian itu,seorang siswa cedera apabila kumpulan yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan lelaki yang didakwa ‘samseng’ dalam satu kejadian awal pagi ini, menurut saksi.

Kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta kumpulan siswa berkenaan dalam kejadian bermula kira-kira jam 2.45 pagi.

Kumpulan itu juga naik berang apabila pelajar berkenaan cuba merakam insiden tersebut menggunakan kamera dan telefon bimbit.

Mereka kemudiannya merosakkan sebahagian daripada alat rakaman tersebut.




Kira-kira 100 orang pelajar berkenaan berkhemah di kawasan itu sejak Sabtu lalu untuk menuntut pendidikan tinggi percuma dan juga supaya pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dihapuskan.

Pelajar berkenaan telah membuat laporan polis atas insiden tersebut hari ini secara berperingkat yang melibatkan lebih kurang 40 individu di Balai Polis Dang Wangi di sini.

Tiada ulasan: