Khamis, 19 April 2012

Saran siswa 'jangan tagih simpati', menteri dikecam


MALAYSIA KINI
Reaksi Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung insiden serangan ke atas sekumpulan siswa di Dataran Merdeka hari ini menerima kecaman daripada pemimpin pelajar terbabit.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini dalam satu sidang media berkata, Mohamed Khaled tidak sepatutnya bertindak "angkuh" dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Mohd Syahid berkata, Mohamed Khaled sepatutnya mendengar keluhan pelajar berkenaan dan bukannya melayan mereka seperti anak kecil.

Menteri tersebut tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu, kata Mohd Syahid lagi dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Mohamed Khaled dalam reaksinya ke atas insiden tersebut menulis di Twitter: "Tiada siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa-apa perkara, jangan tagih simpati."

Beliau mengulas insiden melibatkan sekumpulan individu tidak dikenali yang merosakkan khemah dan menyerang kumpulan pelajar yang berhimpun di satu sudut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Seorang daripada pelajar berkenaan dibawa ke hospital ekoran kecederaan yang dialami ekoran serangan pada awal pagi ini.

Tiada ulasan: