Jumaat, 27 April 2012

Salahuddin Ayub dihalang masuk Skudai Kiri

Harakahdaily,



JOHOR BAHRU: Kehadiran Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ke di Kampung Skudai Kiri di sini semalam didakwa dihalang sekumpulan lelaki sehingga tercetus sedikit kekecohan.

Salahuddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon MB Johor jika Pakatan menguasai negeri itu pada PRU 13, dihalang kira-kira 20 lelaki dipercayai penyokong Umno daripada bertemu penduduk.


Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 11.45 pagi di mana Salahuddin yang turut ditemani Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat mahu memenuhi jemputan penduduk yang mahu mengadu berhubung masalah tanah.

Difahamkan penduduk tidak puas hati dengan pihak kerajaan yang mahu membangunkan kawasan tersebut tanpa pampasan yang setimpal.

Mereka juga kuatir tanah rizab Melayu yang mereka duduki itu akan terancam akibat daripada pembangunan yang akan dilaksanakan.

Menurut Suhaizan, ketika kumpulan mereka bersama wartawan masuk ke kawasan kampung tersebut mereka telah dilayan dengan cukup kasar dan biadap.

"Kumpulan Umno Skudai Kiri telah mengetuk-getuk kenderaan kami dan menghalau rombongan kami masuk ke kampung tersebut.Kami tidak melayan mereka dan terus masuk kampung tersebut.

"Jam 12.00  tengahari, saya sampai ke kumpulan penduduk kampung yang telah menunggu kami. Setelah saya membuat kenyataan media kepada wartawan yang turut sama dalam rombongan. Kumpulan Umno Skudai Kiri telah menjerit “ Suhaizan berambus, engkau orang luar”," ceritanya.

Selepas itu katanya, Ketua Kampung datang berjumpanya lalu mengarahkan rombongan keluar.

Beliau bagaimanapun mereka bertegas tidak mahu keluar dan akhirnya ketua kampung mengalah dan membenarkan kami berjumpa penduduk selama 10 minit.

Selapas itu, barulah Salahuddin ditemani rakannya Onn Jaafar cuba bertemu penduduk tetapi malangnya dihalang sekumpulan lelaki yang berkumpul di hadapannya.

Sedikit kekecohan berlaku sehingga memaksa pasukan polis datang untuk menenangkan keadaan.


"Dengan senyuman Salahuddin menyapa mereka dan menjelaskan kenapa beliau datang ke kampung tersebut.

"Dengan bantuan pihak polis Salahuddin dapat berjumpa dengan penduduk dan beliau telah ditunjukkan oleh penduduk kampung kesan daripada projek pembangunan yang akan di laksanakan oleh pihak kerajaan," kata Suhaizan.

Mengulas insiden itu juga, Suhaizan berkata perbuatan kumpulan Umno Skudai Kiri sangat memalukan rakyat Negeri Johor.

Kedudukan Skudai Kiri yang berada di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seharusnya memiliki pemikiran yang terbuka.

"80 % rakyat di Negeri Johor bersikap terbuka hanya tinggal 20% lagi yang kurang bernasib baik kerana berfikiran 20 tahun kebelakang.

"Pihak Umno Bahagian Pulai yang diketuai oleh Datuk Nurjazlan Mohammad seharusnya memimpin Umno Skudai kiri keluar daripada pemikiran yang jumud dan tidak sealiran dengan perkembangan semasa khususnya di Johor Bahru," kata Suhaizan.

Tiada ulasan: