Jumaat, 13 April 2012

Rang undang-undang ganti ISA masih kekalkan elemen zalim ISA

roketkini.com



KUALA LUMPUR: Rang undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak mencerminkan kejujuran, malah dilihat sebagai muslihat kerajaan Barisan Nasional yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka untuk rakyat Malaysia yang mencintai kebebasan.

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, pembentangan rang undang-undang itu yang serentak dengan pindaan Kanun Keseksaan, Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah memperlihatkan mentaliti kerajaan yang masih berada dalam era Perang Dingin.

“Saya sangat prihatin apabila melihat bahawa wujud sebahagian dari elemen ISA telah diserap masuk ke dalam Kanun Keseksaan yang baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, peruntukan kepada “keinginan untuk ingkar terhadap undang-undang atau apa-apa perintah yang sah disisi undang-undang” dalam Seksyen 124H Kanun Keseksaan adalah sangat mirip dengan definisi “dokumen subversif” dalam Seksyen 29(3)(b) yang baru dibentangkan untuk dimansuhkan.

Katanya, istilah “keinginan untuk ingkar terhadap undang-undang atau apa-apa perintah yang sah disisi undang-undang” adalah sangat hampir dengan definisi “pengganas” dalam Seksyen 2 dalam ISA.

“Keyakinan umum terhadap kerajaan goyah apabila undang-undang yang menindas dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang hampir sama – kalau tidak lebih dari itu pun– undang-undang yang hina ini bertentangan dengan semangat reformasi perundangan,” ujarnya.

Menurutnya, dolak-dalik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap bom yang sedang berdetik ini merupakan satu tindakan biadap kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya tidak ada niat untuk perubahan sebenar.

Liew berkata, kerajaan BN memberi kuasa kepada pihak berwajib yang hampir setara dengan undang-undang pemerintahan tentera.

* Seksyen 124B Kanun Keseksaan telah mewujudkan satu kesalahan iaitu “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

* Seksyen 130A ditakrifkan sebagai “aktiviti yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan untuk menggulingkan atau mengancam demokrasi berparlimen dengan keganasan atau melanggar perlembagaan” di mana seksyen ini akan membuka ‘pintu belakang’ untuk tuduhan kesalahan yang boleh dipersoal dan mungkin melanggar hak asasi manusia oleh kerajaan yang tidak bertangungjawab.

* Kebebasan media dan kebebasan maklumat terancam di bawah Seksyen 124D, 124E dan 124F dimana menjadi satu kesalahan untuk mencetak, atau mengimpot “dokumen dan penerbitan yang boleh menjejaskn demokrasi berparlimen”.

“Sekali lagi wujud definisi yang kabur dan hukuman yang berat (sehingga 15 tahun bagi mencetak), seksyen ini akan memberi ruang kepada salah guna kuasa oleh kerajaan untuk mengawal ketat sebarang bentuk bahan bacaan yang tidak diingini parti yang memerintah,” kata Liew.

Tambah beliau, takrif “maklumat sensitif” dilihat mengelirukan di bawah Seksyen 130A yang baru (i), iaitu takrifan rangkuman begitu meluas bagi apa-apa dokumen, maklumat atau bahan, “sama ada ia atau tidak” perkara yang diklasifikasi sebagai ‘Rahsia Rasmi’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terkawal’.

Merujuk kepada rang undang-undang Kesalahan Keselamatan, beliau menjelaskan, satu prosedur khas diperkenalkan dalam soal maklumat sensitive di mana Seksyen 8(8) rang undang-undang menjadikan kerajaan kebal kerana keputusan mahkamah tidak boleh dirayu. – Roketkini.com

Tiada ulasan: