Ahad, 1 April 2012

Ramuan khas Cikgu Pa buat Najib banteras rasuah

Harakahdaily,

KUALA TERENGGANU: Terlupanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan ramuan paling utama dalam resipi membanteras rasuah negara merupakan sebab utama aktiviti rasuah di bawah pentadbirannya semakin meningkat, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar).

“Sebenarnya, tidaklah sukar sangat untuk membanteras rasuah. Ia mestilah dilakukan daripada atas ke bawah (topdown) dan bukannya bawah ke atas (bottom up). Atas ke bawah, bermaksud ia harus bermula daripada perdana menteri,” kata Mustafa yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Pa’ kepada Harakahdaily hari ini.

Selain itu, pemimpin veteran PAS Terengganu itu berkata Najib juga memerlukan keberanian moral untuk bertindak untuk melepaskan kekuatan kuasa politiknya untuk membendung amalan rasuah dalam pentadbiran beliau.

“Dengan itu, segala rintangan yang berada di depan beliau akan runtuh. Beliau mungkin hanya memerlukan setahun saja untuk membersihkan rasuah di peringkat tertinggi,” kata Cikgu Pa.

Berbicara mengenai cadangan supaya para menteri membuat deklarasi aset kepada perdana menteri sahaja, Cikgu Pa berpendapat cadangan tersebut tidak efektif kerana “apa ketakutan yang ada pada para menteri kerana masak bahawa orang yang mereka perlu membuat deklarasi aset sama-sama terlibat dengan aktiviti rasuah seperti mereka juga.”

“Tiada jumlah deklarasi aset yang mencukupi untuk menghindarkan seseorang daripada melakukan dan makan rasuah. Perkara ini telah dilaksanakan sejak zaman Tun Abdul Razak. Untuk saya, benda ini hanyalah menyedapkan mata dan tidak efektif. Duit rasuah boleh diletakkan di bawah nama orang lain yang dipercayai,” tambah Cikgu Pa.

Cikgu Pa, yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak selaku sebagai setiausaha parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia pada tahun 1974 sehingga tahun 1977 dan Tun Hussein Onn sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada awal tahun 1977 sehingga November 1977 berkata pada pengamatan beliau, pentadbiran tiga perdana menteri Malaysia terawal, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn adalah lebih bersih berbanding dengan pengganti mereka.

Penyelesaian

Cikgu Pa berkata hanya cara spiritual sahaja boleh memerangi gejala rasuah.

“Menyemai ke dalam rakyat, nilai kepercayaan kepada Tuhan dan kehidupan akhirat. Akauntabiliti bukan sahaja di dunia ini tetapi akan dibawa ke dunia lain,” kata Cikgu Pa, sambil menambah bahawa integriti tidak akan lengkap tanpa elemen ‘Takut kepada Tuhan.”

“Ini juga adalah asas kepada sistem spiritual dan nilai Islam,” tambah beliau.

Di bawah Najib, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terus jatuh dari tangga 56 pada tahun 2010 ke tangga 60 pada 2011.

Menurut Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia hanya sekadar mencatatkan markah/skor hanya 4.3, rekod nilai terendah berbanding 5.32 pada 1996 dan sekaligus mencatatkan kejatuhan kali ketiga berturut-turut semenjak 2009.

Tiada ulasan: