Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu
dicapai hasil mesyuarat khas SPR kelmarin mengenai setiap syor
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses
Pilihan Raya.
"Mesyuarat turut menerima supaya proses pelantikan pengerusi, timbalan
pengerusi dan anggota SPR dikaji semula secara teliti untuk memberi
keyakinan bahawa badan itu benar-benar bebas daripada pengaruh Eksekutif
dan Legislatif," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju penstrukturan semula badan itu dilaksana dengan memberi kuasa perundangan sewajarnya.
Selain itu Abdul Aziz berkata, SPR menyambut baik usaha memperkasa
kedudukan badan itu di sisi perundangan serta kedudukan struktur fungsi
SPR sebagai sebuah badan bebas yang bertanggungjawab mengendalikan
urusan pilihan raya.
Dalam kajian penambahbaikan itu, beliau berkata, sebanyak 22 syor telah
dikemukakan untuk dikaji dan diambil tindakan mengikut kesesuaian dan
keupayaan.
Tujuh daripada 10 syor akan dilaksanakan termasuk penggunaan dakwat
kekal, pengundian awal bagi anggota tentera dan polis, pembersihan
daftar pemilih,
memansuhkan proses bantahan terhadap kertas pencalonan pada hari
penamaan calon dan memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar
negara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengundi secara pos.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, SPR akan mengambil segala tindakan yang
perlu secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih yang bersih
sebagaimana yang disyorkan PSC.
"SPR juga bersetuju untuk bekerjasama secara berterusan dengan agensi
lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), polis dan Mimos dalam usaha membersihkan Daftar
Pemilih," katanya.
Beliau berkata untuk pembersihan secara berterusan, SPR akan
menjalankan urusan itu berdasarkan Peraturan 10 dan Peraturan 25
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Mengenai cadangan agar ditubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi
mengawasi pelaksanaan kerja SPR dan urusan berkaitan daftar pemilih,
Abdul Aziz berkata, ia bercanggah dengan kedudukan dan kebebasan SPR di
bawah Perlembagaan Persekutuan.
Manakala berhubung cadangan pendaftaran secara automatik pula, Abdul
Aziz berkata, SPR perlu membuat kajian terperinci dari pelbagai sudut
dan implikasi kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"SPR sebagai sebuah badan bebas bertanggungjawab melaksanakan fungsi
dan tanggungjawabnya berdasarkan tiga fungsi seperti yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan.
"SPR akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam melaksanakan fungsi dan
tanggungjawab itu secara adil dan saksama kepada semua pihak yang
terlibat dalam pilihan raya," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan