Jumaat, 20 April 2012

Pindaan Auku dilulus, pelajar bebas pegang jawatan

SINAR HARIAN

sidang parlimen

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012,
 
dengan pindaan yang membenarkan pelajar universiti memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan di dalam dan di luar kampus.
 
Perenggan 15(2)(c) telah digugurkan yang dicadangkan melarang pelajar daripada bertanding dalam pilihan raya bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam kampus, jika pelajar itu memegang apa-apa jawatan dalam sesuatu parti politik.
 
Larangan itu bertujuan untuk mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.
 
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang telah mencadangkan untuk menggugurkan subseksyen itu berkata sekatan tersebut akan memberi ruang yang sangat besar kepada pihak tertentu untuk terus mengkritik kerajaan.
 
Katanya, mereka akan memberikan hujah yang mengatakan kerajaan tidak ikhlas dan tidak komited dengan semangat keterbukaan dan pengiktirafan kepada mahasiswa.
 
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut berkata, kementerian bersetuju supaya subseksyen tersebut digugurkan berikutan hujah yang diberikan adalah meyakinkan.
 
Mengulas mengenai kebimbangan ahli-ahli Parlimen sama ada pindaan tersebut boleh menjejaskan peranan universiti dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian, beliau berkata, perkara tersebut telah diberi pertimbangan oleh kepimpinan negara apabila bersetuju untuk melakukan pindaan terhadap akta berkenaan.
 
Katanya, pindaan itu adalah bagi mencapai keseimbangan antara soal kebebasan politik dan juga bagi mencapai matlamat pendidikan.
 
Datuk Dr Mohamed Shahrum Osman (BN-Lipis) melahirkan kebimbangan jika idelogi parti dan agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau partisan politik menular di dalam kampus.
 
Katanya, beliau bimbang ia akan menimbulkan masalah jika tidak dapat dikawal.
 
Bagaimanapun, katanya, beliau berharap mahasiswa menggunakan peluang yang telah terbuka dan diberikan oleh kerajaan itu sebaik-baiknya untuk menunjukkan yang mereka sudah cukup matang dan bersedia menggunakan kebebasan yang diberikan tanpa menjejaskan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar universiti yang berilmu dan berjaya.
 
"Saya berharap mahasiswa bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan bagi memastikan mereka tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab utama.
 
"Harapan ibu bapa dan komitmen penaja pengajian, keharmonian kampus dan hak pelajar lain yang ingin belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan soal berpolitik yang melampau dalam kampus," katanya.
 
Katanya, beliau berharap pentadbiran universiti dapat menasihati pelajar untuk menggunakan kebebasan dengan sebaik-baiknya dan jangan mudah diperalatkan oleh mana-mana pihak. - Bernama

Tiada ulasan: