Isnin, 23 April 2012

Pindaan Akta Pilihanraya Wujudkan Pilihanraya Yang Tidak Telus





SHAH ALAM : Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai tidak menepati tuntutan rakyat (BERSIH) dan Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihanraya (PSC).

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, pindaan ini bakal mewujudkan sebuah pilihanraya yang tidak telus.

“Pindaan ini sememangnya tidak menyebelahi tuntutan rakyat yang dicadangkan oleh PSC, kita (Pakatan Rakyat) telah berusaha membetulkan semua ini dalam sesi perbahasan di  Dewan Rakyat.

“Oleh itu, hanya tinggal jalan terakhir iaitu protes rakyat menerusi BERSIH 3.0 yang akan di adakan hujung bulan ini,”ujarnya.

Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mula dibentangkan pada 9 April lalu, bagaimana pun diluluskan sepuluh hari kemudian selepas melalui sesi perbahasan hanya lebih kurang tujuh jam.

Antara pindaan yang dilakukan ialah memperluaskan sempadan bagi orang ramai yang menunggu atau berdiri berdekatan dengan pusat mengundi pada hari pengundian kecuali bagi mereka yang mengundi daripada 50 meter kepada 100 meter .

Selain itu, pindaan baru ini juga membataskan wakil calon untuk berada di ‘barong panas’ Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari mengundi atas alasan memastikan petugas SPR tidak terganggu selain memberi keselesaan kepada pengundi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya pindaan tersebut memikirkan jalan penyelesaian berhubung masalah pokok seperti daftar pemilih yang mencurigakan.

“Apa yang menjadi masalah untuk mengekalkan agen parti di barong berhampiran SPR, kalau hujah mereka agen calon menganggu di barong SPR bermakna bahawa agen pungutan undi (Polling Agent) juga tidak sewajarnya ada di situ.

“Ini bukan isu ganggu atau tidak ganggu, yang dikhuatiri berlaku penyelewengan ketika itu, maka berhak untuk mana-mana agen untuk membantah,”jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Tiada ulasan: