Isnin, 23 April 2012

Pengerusi BN dicabar tanding di Padang Kota

MOHD ISKANDAR OTHMAN

Teng Chang Yeow bersalam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
GEORGETOWN - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang,Teng Chang Yeow dicabar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) datang bagi membuktikannya beliau bukan boneka Umno.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik berkata, Chang Yeow dicabar bertanding di kawasan berkenaan kerana menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama tiga penggal iaitu dari tahun 1995 hingga 2008 sebelum tewas pada PRU12 kepada Pengerusi DAP negeri,Chow Kon Yeow dengan majoriti 2,254 undi.
 
Menurutnya,Chang Yeow perlu kembali ke kawasan lama untuk berdepan dengan mereka yang pernah menyokongnya sebelum ini.
 
"Chang Yeow sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar Cina dengan mengatakan di mana dia jatuh dan di situ juga dia akan bangkit.
 
"Kenyataanya itu menunjukkan dia begitu komited untuk bertanding semula di Padang Kota selepas kalah. Kita berharap dia dapat membuktikan kata-katanya itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
 
Turut hadir Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim.  
 
Wei Aik tidak melihat sebarang alasan dan halangan untuk Chang Yeow bertanding di kawasan berkenaan kerana sebagai Pengerusi BN, beliau mempunyai kuasa untuk menentukan kawasan yang akan ditandinginya pada PRU akan datang.
 
Menurutnya, Chang Yeow boleh menentukan senarai calon BN pada PRU13 dan kawasan pilihannya untuk bertanding sebelum mengemukakan senarai calon kepada Perdana Menteri.
 
Menurutnya, DAP sentiasa bersedia dan menanti kedatangan Chang Yeow di Padang Kota untuk membuktikan keberanian dan kesungguhannya bangkit semula di kawasan yang beliau pernah jatuh.
 
"Sebagai rakyat Pulau Pinang kita tidak mahu lihat seorang lagi pemimpin mirip Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
 
"Dahulu Dr Koh  dikongkong oleh Umno dan kini kita tidak mahu Chang Yeow pula dijadikan boneka yang baru oleh Umno," katanya.
 
Sementara itu, Chang Yeow dalam satu sidang media di sini berkata, belaiu akan berjumpa sendiri dengan Wei Aik bagi menjawab isu itu.
 
"Biar saya bercakap sendiri dengannya," katanya.

Tiada ulasan: