Ahad, 22 April 2012

PAS meminang Ramli Yusoff, Abdul Kadir bertanding dalam PRU13


KUALA LUMPUR, 22 April — PAS telah mula berkempen untuk merekrut bekas orang kuat kerajaan dengan harapan dapat meningkatkan sokongan terhadap parti Islam berkenaan dengan pilihan raya ke-13 semakin hampir.

The Malaysian Insider difahamkan, parti Islam itu sedang cuba untuk memikat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Ramli Yusoff termasuk bekas ahli jawatankuasa tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) untuk bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya akan datang.

Ramli telah berulangkali memberi tekanan kepada kerajaan  Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa Peguam Negara, dan Abdul Kadir telah mengumumkan keluar Umno bulan lalu selepas menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Kedua-dua pemimpin berkenaan adalah individu yang kritikal dan vokal terhadap pentadbiran kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin parti Islam telah mengesahkan mereka telah membuat “pelawaan” tidak rasmi kepada kedua-dua tokoh tersebut supaya menyertai PAS, namun Abdul Kadir dan Ramli masih lagi belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Mereka adalah antara nama yang telah disebut, namun masih lagi belum ada keputusan daripada kedua-dua mereka,” kata timbalan presiden PAS Mohamad Sabu kepada The Malaysian Insider semalam.

Ketua penyelidik PAS, Dzulkefly Ahmad berkata, penyertaan kedua-dua pemimpin itu ke dalam PAS akan memberikan banyak kelebihan kerana mereka akan membekalkan maklumat lengkap berkenaan jenayah yang telah dilakukan kerajaan BN suatu masa dulu.

“Mereka berasal daripada sistem. Ini adalah orang yang kritikal terhadap sistem, pernah menyokongnya. Mereka juga pernah melihat segala kekurangan sebelum ini, itu akan didedahkan dan digunakan bagi memusnahkan sistem sedia ada,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Mereka adalah contoh terbaik individu yang pernah bekerja dengan BN yang korup, yang kini tidak lagi tahan untuk terus bekerjasama dengan BN, dan mahukan kerajaan yang lebih baik,” kata pemimpin PAS itu.

Namun Dzulkefly menjelaskan, beliau tidak akan menolak kemungkinan kedua-dua pemimpin itu dilihat sebagai pemimpin lapuk idea, namun memandangkan umur dan perkhidmatan yang yang telah mereka lakukan dengan kerajaan.

“Mereka perlu dinilai daripada diri mereka sekarang, apa yang mereka katakan,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dipetik sebuah portal online semalam berkata parti Islam itu akan meletakkan Ramli sebagai calon dalam PRU akan datang.

Namun apabila dihubungi, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan Ramli masih lagi belum memberi kata putus untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Saya ada berjumpa beliau (Ramli) beberapa hari lalu ... soalan itu ditanya, namun beliau masih lagi belum membuat sebaranh keputusan.

“Tunggu dan lihat, kita tunggu dan lihat,” kata Salahuddin kepada The Malaysian Insider.

Abdul Kadir mengesahkan PAS dan PKR telah “mencadangkan” agar beliau menyertai mana-mana daripada kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sebelum pilihan raya, namun berkata beliau masih lagi belum membuat “sebarang keputusan” untuk menyertai mana-mana parti politik sekarang ini.

Bekas menteri itu berkata beliau ada menyertai ceramah PAS sebagai panel, dan akan terus menyertai perhimpunan dan program PR.

“Saya ada banyak masa terluang, jadi saya boleh menghadiri ceramah-ceramah ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: