Khamis, 12 April 2012

Pakatan sambut baik undang-undang baru ganti ISA

Namun begitu, Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa bimbang mengenai kesungguhan kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang ini.





PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan undang-undang baru, Bil Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khusus) yang dibentangkan di Parlimen buat pertama kali semalam.

Namun begitu, beliau turut melahirkan rasa bimbang mengenai kesungguhan kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang ini dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu.

“Kita menyambut baik langkah ini, untuk mengakhiri sejarah penahanan rakyat berdasarkan kepercayaan politik mereka. Saya dan beberapa rakan dalam PKR dan Pakatan Rakyat pernah ditahan di bawah ISA.

“Kita tidak harus lupa bahawa pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi manusia seperti GMI (Gerakan Mansuhkan ISA – Abolish ISA Movement) dan Suaram (Suara Rakyat Malaysia), sudah sekian lama menentang ISA,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Anwar, Bil ini bertujuan untuk menghadkan bidang kuasa pihak kerajaan untuk menahan seseorang tanpa bicara dan pada masa yang sama menghadkan apa-apa bentuk tahanan untuk tujuan penyiasatan sehingga 28 hari.

“Di mana terletaknya keadilan jika Menteri Dalam Negeri diberi kuasa muntuk individu-individu dipenjarakan selama dua tahun tanpa bicara, terutama mereka yang dipenjarakan itu adalah musuh politiknya?,” soal beliau.

Menurutnya lagi, sebelum bil ini diperkenalkan, Pakatan Rakyat juga berikrar untuk memansuhkan ISA sekiranya Pakatan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Beliau bersependapat dengan Majlis Peguam bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk membendung keganasan dan di mana perlu, undang-undang itu boleh diperketatkan.

Disamping itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menggesa Najib supaya memansuh segala bentuk undang-undang zalim yang lain dan bersifat menindas rakyat itu.

Di antaranya termasuk akta percetakan dan penerbitan, penyertaan para pelajar dalam politik, kesatuan sekerja, perhimpunan dan hak undi seberang laut.

Bil Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Istimewa) 2012 dibentangkan buat pertama kali semalam untuk menggantikan ISA.

“Hanya ada satu undang-undang sahaja, tidak ada undang-undang yang lain. Inilah yang kita cakapkan, seperti disebut undang-undang anti-keganasan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz merujuk kepada cadangan awal untuk memperkenalkan dua undang-undang yang lain bagi menggantikan ISA.

Tiada ulasan: