Sabtu, 14 April 2012

Lynas: Kapitalis untung, rakyat kaut radioaktif Written by - font size decrease font size increase font size Print E-mail Comment!


MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR, - Setelah hampir sebulan kumpulan anti-Lynas berhimpun secara besar-besaran di Kuantan, sekali lagi himpunan serentak di seluruh negara diadakan, petang tadi.

Di Shah Alam, kira-kira 200 peserta berbaju warna hijau, berhimpun di Dataran Bandaraya Shah Alam, sebagai bantahan terhadap sikap kerajaan dalam menangani isu loji nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Kuantan, Pahang.

Kumpulan tersebut yang bergerak dari Masjid Negeri Shah Alam, selepas solat Jumaat itu, diketuai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad ketika berucap di hadapan peserta solidariti, berkata projek di Kuantan ini hanya memberi keuntungan kepada pihak kapitalis, manakala rakyat hanya mengaut sisa radioaktif dari projek berkenaan.

Katanya, sudah jelas kesan dari projek LAMP ini hanya membawa kemusnahan, bukan sahaja kepada kesihatan manusia, tetapi juga terhadap alam sekitar.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Bukit Merah, Perak berulang di Kuantan. Malaysia bukan ‘dumping site’ untuk sisa berbahaya. Ini bukan isu parti, bangsa apa yang perjuangkan. Ini tentang kemanusiaan," tegas beliau.

Sementara itu, jurucakap Badan Bertindak Anti Rare Earth (Badar), Zulkefly Mohamad Omar berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung penolakan semakan kehakiman yang difailkan sepuluh penduduk Gebeng, Kuantan terhadap tindakan Atomic Energy Licensing Board (AELB) meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas.

“Kita akan failkan rayuan. Kita yakin ada kepentingan pihak tertentu dalam mempertahankan projek ini. Hanya satu sahaja isyarat yang wajar rakyat tunjukkan kepada pemerintah sebagai penentangan terhadap projek ini. Tolak mereka yang menyokong pembinaan loji Lynas dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.

Himpunan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib; Adun Meru, Dr. Rani Osman; peguam Harris Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvam dan aktivis mahasiswa, Safwan Anang.

Mereka melaungkan pelbagai slogan, antaranya ‘Henti Lynas’, ‘Hidup Rakyat’, Hidup Alam Sekitar’, ‘Jahanam Kapitalis’ dan ‘Go Back To Australia’.

Kira-kira 20 anggota polis beruniform dan berpakaian preman hanya memerhatikan himpunan, manakala anggota trafik mengawal keadaan lalu-lintas.

Di Melaka, Pakatan Rakyat Melaka turut berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta bagi menyatakan solidariti berhubung isu sama.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan kampus Universiti Terbuka Malaysia, Bukit Palah, itu turut disertai Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Selain Adly, turut serta dalam perhimpunan tersebut ialah pemimpin Pakatan Rakyat negeri, antarana Pengerusi DAP, Goh Leong San; Timbalan Pengerusi PKR, Rahim Ali serta wakil daripada Dewan Perhimpunan Cina Melaka dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

Di Sungai Petani, Kedah, hampir 2000 kumpulan anti-Lynas berhimpun di Dataran Jam Besar, yang turut disertai Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaffar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Adun Kota Darul Aman, Lee Guan Aik; wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Selain di Shah Alam, Melaka dan Kedah, turut berlangsung himpunan sama di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri), Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu), Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), , Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).-Harakahdaily

Tiada ulasan: