Khamis, 19 April 2012

Lahir di Malaysia tapi tak dapat warganegara

Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan pihak kerajaan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam mempertimbangkan kembali pemberian status kewarganegaraan kepada mereka yang telah lama menetap di negara ini termasuk mereka yang dilahirkan di Malaysia.

Beliau yang ditemui di hadapan pintu masuk Parlimen ketika demonstrasi masyarakat India di negara ini yang menuntut taraf warganegara itu turut menegaskan agar kerajaan perlu mengutamakan mereka yang betul-betul berhak mendapat taraf warganegara untuk diberikan kad pengenalan biru bukannya memberi taraf warganegara hanya tujuan untuk mendapat undi pada pilihanraya nanti.

"Perkara ini perlu diambil tanggungjawab sepenuh oleh kerajaan, malah hak warganegara kepada mereka perlu diberikan memandangkan mereka telah lama menetap di negara ini sudah lama.

"Kita tidak mahu kerajaan memberi taraf kewarganegaraan hanya untuk kepentingan politik mereka seperti mendapat undi pada pilihanraya nanti tetapi mereka yang benar-benar sah mendapat status kewarganegaraan dinafikan," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya PAS.

Tambahnya lagi, pendedahan yang dilakukan sebelum ini membuktikan bahawa terdapat usaha pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang-pendatang asing dalam usaha menyelamat kedudukan pemimpin kerajaan pada pilihanraya nanti.

Sedangkan apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa mereka yang hadir telah dianiayai, malah turut dinafikan hak mereka untuk mengundi pada pilihanraya nanti.

"Kebanyakan mereka yang ada hari ini telah menetap di Malaysia melebihi 50 tahun tetapi belum mendapat taraf warganegara serta memegang kad pengenalan merah.

"Itu belum kita ketahui anak-anak mereka yang dilahirkan di negara ini, adakah mempunyai taraf warganegara ataupun sebaliknya," sambung beliau lagi.

Dr. Mohd Hatta turut menyatakan apa yang berlaku hari ini merupakan satu tamparan kepada sistem yang ada di negara ini terutama dalam proses memberi taraf warganegara.

"Sistem yang perlu diperbaiki dan lemah dan kita lihat mereka yang telah tinggal di negara ini lebih 50 tahun tidak diberi kerakyatan tetapi warga Indonesia mahupun lain-lain yang menetap sekitar 10 hingga 15 tahun begitu senang mendapat taraf warganegara.

"Kita mahu satu badan khas dibentuk untuk meneliti kembali permohonan mereka agar mereka turut berhak mendapat hak keistimewaan sepertimana yang di miliki oleh rakyat lain," jelas beliau lagi.

Sementara itu, lebih kurang 100 masyarakat kaum India berhimpun di hadapan pintu masuk parlimen bagi menuntut hak mereka agar diberikan status kewarganegaraan.

Kebanyakan mereka telah menetap di negara ini melebih 50 tahun tetapi sehingga sekarang masih memegang kad pengenalan merah.

Tiada ulasan: