Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengetahui insiden yang berlaku itu melalui laman sosial Facebook dan Twitter.
"Saya dapat tahu tentang kejadian itu pagi tadi melalui Twitter. Pegawai saya sedang mendapatkan maklumat lanjut dan meneliti rakaman video yang telah dimuat naik itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Pada awal pagi tadi, aktivis-aktivis mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dalam kempen mereka menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mendakwa mereka telah diserang sekumpulan individu.
Aktivis itu yang berkhemah di Dataran Merdeka buat hari keenam hari ini, diserang sekitar 2.45 pagi tadi.
Mesej mengenai serangan itu disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang mendakwa rakan-rakannya telah diserang 60 orang lelaki dan khemah mereka telah dirobohkan.
Katanya, insiden itu menyebabkan lima mahasiswa telah cedera dan seorang dimasukkan ke hospital.
Rakaman serangan dan kekecohan ketika insiden turut dimuatkan dalam YouTube di bawah tajuk "Mob of 40 attacking students at Dataran Merdeka".
Saifuddin ketika ditanya sama ada akan turun ke Dataran Merdeka atau tidak.
Beliau berkata, masih menunggu maklumat lanjut daripada pegawainya.
"Kita tengok dulu macam mana, saya mahu tunggu laporan daripada pegawai saya terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau berharap supaya siasatan dijalankan dan orang ramai tidak mudah membuat sebarang andaian.
"Walaupun tidak setuju dengan pandangan mereka, saya kutuk serangan terhadap mahasiswa yg berkhemah di Dataran Merdeka. Harap siasatan (dijalankan), jangan tuding jari," memetik dari akaun Twitternya.
Pandangan sama turut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan melalui akaun Twitternya.
"Kenapa jadi t....l dan salahkan Umno atas tindakan samseng malam tadi? Berjuta-juta rakyat Malaysia di luar sana pun benci dasar PTPTN Pakatan," katanya menerusi akaun Twitternya.
Katanya, tindakan samseng seperti serangan yang berlaku ke atas pelajar berkenaan bukan satu pilihan dan harus dikutuk.
"Anda mungkin tidak bersetuju dengan protes mereka atau cara mereka kendalikannya tapi anda tidak boleh laksana undang-undang sendiri. Tidak boleh!" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan