KUANTAN - Kira-kira 30 anggota kumpulan anti Lynas berkumpul sambil
membawa sepanduk dan tiga keranda bertutup kain hitam di persimpangan
masuk ke tapak kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Corporation,
Gebeng dekat sini sebagai tanda protes mereka terhadap projek itu ,
semalam.
Protes secara aman bermula kira-kira jam 1.45 tengah hari itu diadakan
sempena lawatan media jemputan khas Lembaga Perlesenan Tenaga Atom
(AELB) bagi mengikuti Taklimat Mingguan Media Lynas di tapak projek itu.
Cuaca panas terik tidak menghalang kumpulan terbabit berkumpul bagi
menyatakan pendirian mereka mendesak kerajaan supaya menghentikan projek
kontroversi itu yang didakwa berisiko tinggi dan mengancam kesihatan
serta kehidupan penduduk Kuantan khususnya.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau 3.0, Dr Pua Kia Yaw berkata,
kerajaan tidak sepatutnya terlalu memberi keutamaan atas kepentingan
korporat dan politik dalam isu Lynas sehingga mengorbankan masa depan
rakyat.
Menurutnya, operasi kilang itu bakal mendedahkan penduduk Kuantan
khususnya di sekitar Balok terhadap pencemaran sisa buangan pepejal, gas
berbahaya dalam udara dan pencemaran air daripada logam berat yang
terhasil daripada kilang tersebut.
“Pendirian kita jelas dan tetap tidak berganjak untuk melihat projek ini dihentikan,” katanya.
Dia berkata, tiga keranda termasuk yang bersaiz kanak-kanak itu menjadi
simbolik kebimbangan mereka terhadap bahaya projek tersebut yang boleh
memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk.
“Keuntungan besar daripada projek ini tidak membawa sebarang makna kerana penduduk yang akan menjadi korban,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Gabungan Henti Lynas (SLC), Sim Chon
Siang berkata, pihaknya tidak akan berhenti mendesak kerajaan supaya
menghentikan projek tersebut demi kepentingan penduduk Kuantan.
Menurutnya, demonstrasi aman yang berlangsung selama hampir dua jam itu
bertujuan untuk menyatakan pandangan mereka menolak projek tersebut.
“Kita tetap menolak projek ini walaupun ada pihak tertentu mendakwa projek ini selamat,” katanya.
Anggota polis termasuk petugas bahagian trafik turut dikerahkan
mengawal keadaan di lokasi itu bagi memastikan tiada kejadian tidak
diingini berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan