Khamis, 19 April 2012

Kelantan sedia RM10,000 waris mangsa bunuh

Rizal Tahir,


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama menyediakan bantuan khas sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang dibunuh setelah tertuduh diberi pengampunan Sultan Kelantan kerana mempunyai masalah mental.

Tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat exco semalam selepas ianya dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘sagu hati kesedihan’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mahkamah tidak boleh meneruskan perbicaraan terhadap kes bunuh yang melibatkan kes suspek kurang siuman setelah disahkan oleh doktor.

“Selepas pengampunan Sultan Kelantan, suspek itu bebas malah keluarga simati sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi terhadap suspek terbabit, apa lagi untuk mengemukakan saman kerana dia sudah tidak siuman,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu, melalui keputusan itu, rakyat luar Kelantan walaupun tinggal di negeri ini dan kebetulan berlaku sedemikian, juga layak menerima.

Katanya lagi, kertas kerja berhubung perkara itu akan dilaksanakan segera bagaimanapun ianya perlu mendapat kelulusan dalam mesyuarat exco terlebih dahulu.

“Bersama saya yang bakal menjalankan tanggungjawab itu, anggota exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan negeri memandang berat masaalah yang ditanggung keluarga mangsa sedangkan untuk mendakwa tertuduh tidak boleh dilakukan.

“Jadi sebagai tanda kebajikan, tanggungjawab sekurang-kurangnya sebagai ganjaran kerajaan negeri bersedia memberi bantuan kepada keluarga mangsa yang terdekat,” ujarnya.

Tiada ulasan: