Jumaat, 27 April 2012

'Kalau ahli Umno, apa dibuat pasti untuk Umno'


Muhammad Faizal,
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, rakyat akan terus hilang keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mengetahui Pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai ahli Umno.

Pada satu sidang media di pejabatnya, beliau berkata adalah amat sukar untuk meyakini keputusan yang dibuat oleh SPR apabila kedua-dua orang tertinggi dalam SPR merupakan ahli Umno.

"Sekarang semakin sukar untuk kita yakin bahawa apa yang diputuskan oleh SPR sama ada untuk kebaikan semua pihak ataupun hanya kepentingan Umno sahaja.

"Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini kita melihat keputusan yang dibuat oleh SPR hanya untuk memastikan kemenangan kepada Umno Barisan Nasional," jelasnya.

Tambahnya lagi, dalam keadaan SPR sebagai badan pengendali sebuah sistem demokrasi negara, mereka yang menerajuinya perlulah bebas tanpa sebarang jawatan mahupun anggota parti.

"SPR sepatutnya bebas dari ikatan mana-mana parti politik tapi ini tidak kepada kedua-dua mereka dalam SPR yang merupakan ahli Umno.

"Bagaimana kita ingin memastikan sistem pilihanraya di negara ini berjalan mengikut konsep demokrasi tanpa ada berat sebelah ataupun pelan rangka untuk memenangkan satu parti politik sahaja iaitu Barisan Nasional," sambungnya yang juga AJK PAS Pusat.

Khalid menyatakan walaupun terdapat penafian dari kedua-dua mereka tetapi tindak tanduk yang dilakukan tidak boleh diterima akal.

Malah isu yang berkaitan pengundi ragu yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, penambahan undi pos juga dilihat satu agenda untuk memenangkan Umno Barisan Nasional.

"Kalau dah ahli Umno apa yang mereka buat sudah pasti untuk Umno dan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

"Ketelusan SPR untuk memastikan pilihanraya yang adil serta telus sudah pasti tidak akan terlaksana apabila mereka yang membuat keputusan memihak kepada Umno-Barisan Nasional," kata beliau lagi.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut undang-undang, tidak salah penjawat awam menjadi ahli parti politik, asalkan tidak memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau turut memberi alasan bahawa tidak semestinya dengan menjadi ahli Umno, mereka dengan mudah akan mengkhianati amanah yang diberikan (dalam mengendalikan SPR).

Tiada ulasan: