Selasa, 17 April 2012

Isu NC Unisel: ‘Kita ada alasan sendiri’

ARZIANA MOHMAD AZAMAN

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
BESTARI JAYA – Status Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad menjadi tanda tanya selepas pelantikannya ke jawatan itu sejak 2 Ogos 2011 masih belum disahkan Kerajaan Negeri.

Perkembangan semasa itu menimbulkan persoalan adakah pentadbiran universiti milik Kerajaan Negeri itu sekali lagi akan bertukar tangan untuk kali ke empat sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Sinar Harian difahamkan, Dr Anuar sehingga kini masih belum menerima sebarang surat pengesahan jawatan oleh Kerajaan Negeri biarpun jawatan yang dipangku sejak enam bulan lalu telah disahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika dirujuk menjelaskan, Kerajaan Negeri mempunyai alasan tersendiri melewatkan lantikan Naib Canselor Unisel itu meskipun KPT sudahpun menyerap masuk jawatan yang kini disandang Dr Anuar.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mempunyai prosedur tertentu bagi menetapkan setiap lantikan jawatan tertinggi dalam Unisel yang perlu mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah.

“Pelantikan Naib Canselor akan dibincangkan dan ditentukan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Unisel kerana universiti milik penuh Kerajaan Negeri ini dikendalikan syarikat tidak seperti universiti lain.

“Saya tidak mahu mempersoalkan tindakan KPT yang menyerap masuk jawatan Naib Canselor Unisel itu meskipun Kerajaan Negeri masih belum berbuat perkara yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut isu pelantikan itu, Abdul Khalid turut menafikan dakwaan calon Naib Canselor Unisel itu bukan pilihan Kerajaan Negeri gara-gara melewatkan pelantikan jawatan itu.

“Bagi pendapat saya, jika Dr Anuar bagus dan mampu menggalas jawatan dengan baik menguruskan Unisel, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk beliau meneruskan jawatan itu.

“Kerajaan Negeri tidak memilih sesiapa, asalkan calon yang dipilih itu layak dan bagus, tiada halangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas meninjau rumah pekerja ladang di Kompleks Perumahan dan Pengurusan Ladang Tennamaran, semalam.

Prof Dr Anuar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Unisel kini memegang kerusi naib canselor universiti itu selepas tindakan Datuk Dr Rosti Saruwono yang meletak jawatan dengan notis 24 jam berkuat kuasa 2 Ogos 2011.

Sebelum Dr Rosti, jawatan itu dipegang Profesor Datuk Dr Razali Agus sebelum diberikan notis berhenti 24 jam oleh Kerajaan Negeri pada 26 Jun 2008
Sementara itu, KPT menjelaskan segala urusan berkaitan Unisel tidak ada kaitan dengan kementerian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Unisel tidak mempunyai kaitan kerana universiti tersebut adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Unisel adalah IPTS, KPT tidak terlibat,” katanya dalam satu kiriman khidmat persanan ringkas (SMS), semalam.

Tiada ulasan: