Isnin, 23 April 2012

Dua aktivis Occupy Dataran sudah bebas

Jamilah Hamzah

[TERKINI JAM 9 MALAM]  KUALA LUMPUR - Kedua-dua aktivis Occupy Dataran, yang ditahan awal pagi tadi oleh polis, telah dibebaskan petang ini dan dijangka akan dikenakan dakwaan oleh pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat.

Fahmi Reza dibebaskan sekitar jam 3 petang manakala rakannya, Umar Mohd Azmi dibebaskan tiga jam kemudian.

Selepas dibebasakn, Fahmi tiba di Dataran Merdeka, tempat mereka berkhemah sejak Sabtu lalu, sekitar jam 3.30 petang.

"Saya telah ditahan oleh penguat kuasa DBKL dan kes tersebut adalah di bawah DBKL," ulas Fahmi, yang dijangka akan didakwa di bawah Akta Parit dan Bangunan, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

Fahmi perlu berada di mahkamah pada 22 Mei untuk menghadapi dakwaan.

"Beliau ditahan atas kesalahan mendirikan khemah di kawasan Dataran Merdeka," kata Pengerusi Malaysia Bangkit, Syahid Mohd Zaini kepada media pada jam 6 petang tadi.

"Umar turut ditahan atas kesalahan mengganggu kerja (anggota) penguat kuasa DBKL mejalankan tugas pagi tadi," kata Syahid lagi.

Umar telah dibebaskan pada jam 6 petang dengan diikat jamin oleh ayahnya.

"Saya telah dibebaskan dan akan kembali ke mahkamah semula pada esok hari," kata Umar.

Syahid juga berkata, "kami amat kesal akan kejadian yang berlaku pagi tadi dan berharap pihak yang terlibat lebih waras dalam mengambil tindakan ke atas kami."

Beliau juga mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa perjuangan mereka belum selesai dan akan terus berjuang sehingga 28 April ini walaupun pelbagai kesukaran dihadapi semenjak mereka berkhemah di Dataran Merdeka.

Syahid juga memberitahu bahawa pihaknya akan meneruskan aktiviti seperti biasa di Dataran Merdeka malam ini, bermula dengan sidang rakyat yang akan membincang isu yang berkaitan tuntutan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengajian percuma.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut bahawa polis menahan dua lelaki hari ini berikutan kedua-duanya enggan mematuhi arahan pegawai penguat kuasa DBKL di Dataran Merdeka di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dalam kenyataannya hari ini berkata, lelaki pertama ditahan oleh pegawai DBKL kerana didapati tidak mahu menanggalkan khemah yang dipasang di Dataran Merdeka.

Menurutnya, ketika lelaki pertama sedang dibawa oleh pegawai DBKL berkenaan untuk ke balai polis, datang seorang lelaki lain dan cuba menarik tangan lelaki pertama itu.

"Lelaki kedua telah bertindak agresif dengan menolak bahu salah seorang pegawai DBKL dan kemudiannya dia juga ditahan kerana menghalang pegawai berkenaan menjalankan tugas rasmi," katanya.

Mohmad berkata kedua-dua tahanan telah diserahkan kepada polis untuk siasatan dan turut dirampas beberapa peralatan perkhemahan dan makanan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 35 dan 23 tahun itu bukan penuntut institusi pengajian tinggi.

Lelaki pertama ditahan mengikut Seksyen 40 Akta Jalan, Parit dan Bangunan, telah diberi jaminan polis dan kes diserahkan kepada DBKL untuk disiasat.

Manakala lelaki kedua pula ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan diberi jaminan oleh polis sejurus selepas diambil keterangan dan diminta hadir ke mahkamah Jalan Duta esok, katanya.

Tiada ulasan: