Roketkini.com
KUALA LUMPUR – DAP hari ini menyatakan sokongan terhadap Perhimpunan Aman Bersih 3.0 dan Hijau 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April jam 2 petang.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata bahawa parti itu menyokong 3 tuntutan penting Bersih 3.0 iaitu:
1. SPR harus meletak jawatan.
2. Proses pilihanraya harus dibersihkan sebelum pilihanraya umum kerana kegagalan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk Reformasi Pilihanraya untuk menyelesaikan isu kritikal seperti audit senarai pengundi yang tidak lengkap, penyelewengan undi pos, kesalahan pilihanraya, kegagalan menangani politik wang, tiada akses yang bebas dan penuh oleh media cetak dan penyiaran dan juga tiada langkah mengatasi politik wang.
3. Pemerhati antarabangsa harus dibenarkan untuk piliharaya.
Menurut Guan Eng laporan PSC menunjukkan ketiadaan komitmen untuk menangani isu-isu asas reformasi pilihanraya bagi memastikan pilihanraya ke 13 yang bebas serta adil, dan laporan akhir PSC itu telah dibentangkan dalam parlimen tanpa sebarang perbahasan.
Sewaktu laporan akhir PSC dikemukakan di Parlimen, Speaker Dewan Rakyat telah menolak permohonan tiga anggota anggota panel PSC dari Pakatan Rakyat untuk menyertakan laporan minoriti yang memperincikan pandangan tiga anggota terbabit yang menolak empat dari 22 poin yang terdapat dalam laporan berkenaan.
Selain itu, menurut Guan Eng antara kelemahan laporan tersebut adalah keengganan untuk menangani kelemahan asas dalam senarai pengundi. Kesalahan dan penyelewengan senarai pengundi ini telah meningkat sejak Mac 2008 dan ia telah didedahkan oleh pelbagai pihak seperti Merdeka Centre, National Institute for Democracy and Electoral Integrity dan Bersih.
Antara yang penyelewengan dikenal pasti adalah peratusan tinggi pengundi yang tidak dapat dikenal pasti oleh penduduk tempatan; pendaftaran berulangkali oleh pengundi yang sama dengan lebih daripada 1 nombor kad pengenalan; pengundi dilahirkan sebelum 1900 yang masih terdapat namanya dalam senarai pemilih, termasuk Wong Kwan Moy yang tarikh lahirnya adalah 23 Ogos 1853; pengundi dengan nombor kad pengenalan lelaki tetapi disenaraikan sebagai pengundi wanita dan sebaliknya; dan 42000 pengundi yang nombor kad pengenalannya tiada dalam rekod yang dimiliki oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut beliau, ini cuma sebahagian kecil daripada penyelewengan yang berlaku. “DAP membantah sekerasnya kegagalan Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk tidak membenarkan pengenalan laporan minoriti yang mendokumenkan masalah-masalah utama yang memberi kesan kepada pendaftaran pemilih.”
“Memandangkan kekurangan komitmen untuk pilihanraya yang bersih, adil dan bebas, DAP menyokong sepenuhnya seruan Bersih 3.0 untuk berkumpul di Dataran Merdeka jam 2 petang pada 28 April, 2012, untuk menunjukkan hasrat rakyat untuk mempunyai pilihan raya yang bersih, bebas dan adil umum ke-13. DAP juga mengulangi sokongan untuk kesemua tuntunan Bersih 2.0. Daripada 8 permintaan, hanya satu – penggunaan dakwat kekal – telah ditangani dalam Laporan PSC,” tambah beliau lagi. roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan