Khamis, 19 April 2012

Dakwa hina Raja, MP Siti Mariah mahu saman

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemegang akaun laman sosial Facebook yang  mengaitkan beliau dalam dakwaan mengenai beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) telah mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu minggu lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara Rabu lalu, oleh seorang pemilik akaun laman sosial bernama Dr Rahman Kadir.

Rahman merupakan seorang pegawai perubatan yang turut berada di tempat kejadian.

"Saya terkejut dengan dakwaan beliau yang dimuatnaik ke beberapa blog lain. Saya akui memang ada berbual-bual tapi tidak terlalu bising dan tidak menyentuh peribadi orang-orang tertentu," kata beliau dipetik Harakah Daily.

Beliau yang juga Timbalan Dewan Muslimat Pas Pusat turut berkata, tindakan saman akan diambil ke atas pemilik akaun facebook dan  blog.

"Peguam saya sedang membuat kajian dan mengenal pasti blog-blog yang mensensasikan isu ini," katanya lagi.

Dakwaan itu turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presidennya, Tian Chua tetapi kedua-dua mereka telah menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan pemimpin pembangkang mempersenda Raja-raja Melayu ketika istiadat pertabalan baginda.

Khalid berkata, isu yang dibangkitkan itu hanyalah isu remeh yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan politik.

"Ia tidak sepatutnya dibangkitkan tatkala rakyat sedang bergembira meraikan pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Justeru, jika ada keperluan, saya dengan hormat takzim menawarkan kesediaan untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi memperjelas kedudukan sebenar," katanya.

Tiada ulasan: