Ahad, 29 April 2012

Baju T Gerak 2012 Silat juga warna kuning

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal,
KOTA BHARU: Sama ada dirancang atau satu kebetulan, namun hampir 2,000 peserta pesilat Kelantan menyertai Gerak 2012 Silat memakai kemeja T berwarna kuning.

 Cuma bezanya, kemeja T yang mereka pakai bukannya bertulis Bersih 3.0 (Duduk Bantah), sebaliknya Kelantan TMK@2012, simbolik kepada tahun ini sebagai Tahun Melawat Kelantan.

Lebih menarik, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak hadir Bersih 3.0 kerana masalah kesihatan turut memakai kemeja T berkenaan sambil menunjukkan isyarat ‘bagus’, serentak itu peserta silat bersorak sambil melaungkan takbir.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata, sekiranya ingin menegakkan perjuangan Islam, setiap umat perlu mempertahankannya dengan akidah.

“Dengan akidah umat Islam mempertahankan kesucian Islam apa lagi setiap kali ianya dilabelkan dengan perkara buruk terhadap agama suci kita.

“Begitu juga dengan ilmu mempertahankan diri, untuk menjaga keselamatan diri, perlu mempunyai ilmunya agar tidak mudah diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagaimanapun setiap peserta silat perlu mengikut ajaran Islam dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pesilat.

“Kalau boleh setiap kali menunaikan solat khususnya pada program tertentu, solatlah dengan memakai pakaian pesilat sebagai seorang pendekar,” ujarnya.

(Gambar: Tuan Guru Nik Aziz menunaikan solat berimamkan pesilat.)

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana persatuan-persatuan pesilat di negeri itu mengutamakan solat selain tatatertib yang tinggi dan berdisiplin.

Gerak 2012 Silat diadakan sempena Karnival Kebudayaan Kelantan bertempat di Padang Perdana.

Antara pertubuhan yang mengambil bahagian dalam program ini, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Gayung Fattani Kelantan.

Selain itu Seni Silat Terlak Asli Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Gayung Tiga Kalimah Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Gayung Segerak Kelantan dan lain-lain lagi.

Tiada ulasan: