Khamis, 19 April 2012

API serah memorandum kepada Agong Selasa ini



 

Hazayani Zakaria,  


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API) akan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu pemberian kerakyatan kepada warga asing pada 24 April ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, senarai nama warga asing termasuk dari Myanmar, Filipina, Indonesia dan Kemboja akan turut disertakan dalam memorandum tersebut.

"24 April ini saya akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja melalui Penyimpan Besar Mohor Raja-raja menuntut Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

"Saya akan bekalkan sebahagian daripada nama-nama warga asing dari negara mana termasuk dari Sri Lanka, Filipina, Kemboja, Indonesia yang didapati daripada pasukan kerja kami," kata beliau kepada Harakahdaily.

Minggu lalu, PAS menubuhkan API bagi menangani isu pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka menjadi pengundi pada Pilihan raya Umum ke-13.

API telah  menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan Mykad itu, yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri.

API turut dianggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Exco Pemuda PAS, Suhaizan Kayat dan Adram Musa serta peguam Zul Hazmi Shariff serta beberapa peguam lain.

Tiada ulasan: