Isnin, 30 April 2012

Anwar di Konvensyen Pakatan Rakyat Perak esok

Johari Jaafar,


IPOH, 30 April: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan penting kepada 1,500 peserta Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei (esok) di Dewan Bulan Sabit Merah, bersebelahan dengan Stadium Perak.
 
Konvensyen tersebut bermula jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang dan Anwar dijangka menyampaikan ucapan penggulungan yang menyentuh pelbagai isu.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Pakatan Rakyat Negeri Perak, Dr Khairudin Abdul Malik di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya ucapan tersebut dijangka menarik perhatian peserta peserta konvensyen kali ini kerana ianya bagi menyuntik semangat seluruh pimpinan dan petugas-petugas Pakatan Rakyat di negeri ini bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang kian hampir.

"Kita menjangkakan Anwar akan mengupas beberapa isu penting termasuk himpunan Bersih 3.0 dan kebangkitan rakyat untuk melihat proses pilihanraya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil," ujarnya.

Turut berucap pada konvensyen itu ialah AJK PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pada malam forum bertajuk Pilihan Raya Umum 13 Membersihkan Yang Kotor akan diadakan di tempat yang sama jam 8.00 malam, antara panelis ialah Mohd Sabri dan Syed Ibrahim Noh di samping persembahan budaya di tapak konvensyen.

Ceramah Perdana Pasca Bersih 3.0 bermula jam 9 malam diadakan di Dewan Bulan Sabit Merah  dengan penceramah terdiri daripada Anwar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Nga Kor Ming dan V Sivakumar.

Beliau mempelawa seluruh penyokong Pakatan Rakyat hadir beramai-ramai untuk menjayakan program tersebut.

Tiada ulasan: