Isnin, 23 April 2012

Aktivis Mahasiswa Kembali Berkhemah di Dataran





SHAH ALAM  : Gerakan Mahasiswa menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali berkampung di Dataran Merdeka hari ini.

Sebelum ini gerakan tersebut memberi laluan kepada penganjuran Konsert Diraja pada 21 April lalu setelah berkampung dilokasi itu lebih daripada seminggu.

Aktivis Mahasiswa, Adam Adli berkata setakat petang ini hampir 15 ke 20 mahasiswa telah kembali berkampung untuk meneruskan kempen mereka sehingga BERSIH 3.0 pada 28 April.

“Walaupun berlaku insiden serangan dan merampas barangan kami ditambah dengan penahan beberapa orang aktivis oleh DBKL dan polis, kami nekad untuk meneruskan protes ini.

“Alhamdulillah ada beberapa pihak yang tampil memberi sokongan dan bantuan seperti khemah baru kepada kami bagi mengantikan khemah yang musnah,” ujarnya.

Adam menambah, dengan berbakikan 5 hari hari sementara menunggu BERSIH 3.0, pihaknya akan terus bertahan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan seperti yang dialami mereka sebelum ini.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan, protes ini adalah suara kami, semakin kuat kita ditekan, bermaksud kita semakin hampir dengan kejayaan.

“Bila kita meletakan niat untuk turun memprotes, sewajarnya kita telah bersiap untuk terima sebarang bentuk ancaman, kita perlu ingat bahawa kita tidak keseorangan dalam perjuangan seumpama ini,” katanya.

Lokasi yang sama juga bakal digunakan untuk penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 yang bakal diadakan 28 April ini.

Minggu lepas, perkhemahan aktivis itu diganggu dan diserang beberapa kali. Khemah mereka dirampas dan dirobohkan dua kali oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mereka juga diserang oleh 50 orang samseng pada malam April 19 yang memusnahkan perkhemahan mereka. Seorang aktivis cedera di dalam serangan tersebut.

Tiada ulasan: