Ahad, 29 April 2012

Ahmad Said Tidak Sedar DUN Terengganu Lulus Bajet Zoo?

Ustaz Mohd Nor Hamzah 
 
 
Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini Rabu 25 April,  cuba memutar belitkan isu belanjawan kepada zoo yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sedikit masa dahulu.

Isu belanjawan sebanyak hampir RM 100 juta yang telah diluluskan oleh dewan itu telah dibangkitkan oleh wakil Batu Burok Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau membangkitkan belanjawan yang begitu besar jumlahnya (walaupun belum dibelanjakan lagi) hanya untuk zoo, sepatutnya ditumpukan dahulu kepada persoalan kemanusiaan lain yang lebih penting.

Ahmad kemudiannya bangun menuduh Syed Azman telah berbohong dengan mereka cerita tentang jumlah hampir RM 100 juta itu di dalam dewan.

Akan tetapi apabila Syed Azman bangun menyatakan bahawa apa yang beliau bangkitkan itu adalah perkara yang telah diluluskan oleh dewan satu ketika dahulu, Ahmad hanya meneruskan ucapannya tanpa memperbetulkannya.

Dengan sikap Yang DiPertua (YDP) Dewan yang dilihat tidak memihak Syed Azman, maka permohonan Syed Azman agar YDP mengarahkan Ahmad menarik balik tuduhan dia berbohong tidak dilayan.

Sementara itu permohonan pembangkang agar kerajaan menyatakan secara terperinci tentang syarat-syarat persetujuan penamatan saman royalti antara kerajaan negeri dengan Petronas juga ditolak.

Sidang Dewan telah dipendekkan kepada hanya dua hari iaitu 24 dan 25 April setelah cadangan Pengerusi, Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abd. Rahman agar sidang hari ketiga dimasukkan kedalam hari kedua diterima - dunbpayong.blogspot.com

*** dunbpayong.blogspot.com ialah laman blog rasmi ADUN Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua dewan Pemuda PAS Terengganu

Tiada ulasan: