Oleh: Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Sekumpulan 79 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dinamakan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) terus mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Gabungan NGO itu mahu IPCMC ditubuhkan kerana kepercayaan terhadap pasukan polis semakin terhakis ekoran beberapa insiden keganasan yang bermotif politik tidak ditangani polis secara professional.
Ketua Koordinasi GBM, Zaid Kamaruddin berkata, penubuhan IPCMC perlu dilaksanakan sebelum pilihanraya umum ke-13 bagi menzahirkan keikhlasan kerajaan menjaga hak rakyat dan membanteras berputiknya keganasan politik yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Keganasan dan serangan terhadap beberapa majlis aktivis social dan politik membayangkan perkembangan berbahaya di negara ini. Kami percaya ia adalah keganasan terancang yang bermotif politk. Kagagalan pihak polis bertindak dengan pantas dan professional amat dikesali.
“Justeru kami menggesa agar IPCMC ditubuhkan bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak polis yang lepas tangan daripada menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan awam,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Zaid berkata, tindakan biadap dan serangan ala samseng pada majlis anjuran aktivis sosial dan politik membayangkan perkembangan berbahaya dalam masyarakat di negara ini.
Sambil merujuk beberapa insiden yang berlaku sebelum ini termasuk keganasan Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang dan serangan kereta Ketua Umum KEADILAN di Sembrong, Johor, beliau percaya ia adalah keganasan terancang yang didalangi parti politik menjelang pilihanraya umum ke 13 tidak lama lagi.
“Ia adalah suasana buruk dalam perkembangan politik negara ini untuk menyekat pertukaran idea., wacana dan kepelbagaian pilihan politik. Kegagalan pihak berkuasa bertindak dengan pantas dan tegas akan menggalakkan pelakunya meningkatkan gansterisme dan boleh menjadikannya tidak terkawal,” katanya.
26 Februari lalu Naib Presiden KEADILAN nyaris ditumbuk samseng dipercayai upahan Umno-BN pada ceramahnya di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, Pahang. Beberapa hari sebelum itu, kereta Ketua Umum KEDAILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang oleh samseng Umno ketika mahu mengadakan ceramah di Sembrong Johor.
Keganasan turut berlaku pada himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang pada 26 Februari lalu menyaksikan seorang wartawan di pukul sekumpulan samseng. Program beberapa aktivis social seperti Asalkan Bukan Umno (ABU) pada 22 Januari lalu turut menjadi sasaran kumpulan tidak bertanggungjawab ini.
Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.
Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.
Polis menuduh IPCMC menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, bertentangan dengan undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan, mencabul keadilan semulajadi, boleh mengakibatkan anarki, bersifat diskriminasi, menafikan keadilan dan mengkompromikan perintah Ketua Polis Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan