Isnin, 9 April 2012

3 akta dipinda bolehkan pelajar sertai politik

SINAR HARIAN

khalid nordin

KUALA LUMPUR - Pelajar institusi pengajian tinggi akan dibenarkan menyertai dan menganggotai mana-mana parti politik apabila pindaan pada tiga akta berkaitan dengan peruntukan itu diluluskan Dewan Rakyat kelak.

Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan), Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) dan Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) dibentang buat kali pertama oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu bagi menggantikan peruntukan sedia ada yang melarang pelajar universiti menjadi anggota parti politik.

Namun, pindaan itu mencadangkan sekatan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti parti politik di dalam kampus bagi mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.

Antaranya ialah subseksyen 15(2) Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti, subseksyen 47(2) Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan subseksyen 10(2) Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) yang mencadangkan pelajar universiti tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kampus bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan universiti jika pelajar itu memegang jawatan dalam parti politik.

Pelajar universiti juga tidak dibenar menjalankan aktiviti politik di dalam kampus, tidak dibenar menjadi ahli kepada mana-mana persatuan dan pertubuhan di dalam dan luar kampus yang menyalahi undang-undang.

Pindaan pada ketiga-tiga rang undang-undang itu juga mencadangkan seseorang pelajar universiti tidak boleh dihalang daripada membuat kenyataan mengenai sesuatu perkara akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau penyelidikannya.

Selain itu, pindaan pada seksyen 21 Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Aduan Pelajar ditubuh untuk menjalankan siasatan atau inkuiri ke atas apa-apa aduan yang dibuat pelajar mengikut cara yang ditetapkan oleh Statut.

Jawatankuasa itu akan dianggotai Naib Canselor sebagai pengerusi, dua orang ahli yang dipilih Majlis Perwakilan Pelajar-pelajar, dua orang ahli yang dipilih oleh Persatuan Siswazah atau Alumni Universiti dan dua orang pegawai lain universiti yang dilantik oleh Lembaga. – Bernama

Tiada ulasan: