Selasa, 3 April 2012

22 syor PSC untuk tambahbaik sistem p'raya

MALAYSIA KINI

Syor-syor itu dibuat setelah PSC mendengar cadangan dan maklum balas daripada individu/persatuan/pertubuhan berdaftar serta cadangan dan maklum balas ahli Jawatankuasa serta mengambilkira perbincangan dalam jawatankuasa-jawatankuasa Kecil dan pemerhatian daripada lawatan kerja.

(I) PERUNDANGAN DAN PINDAAN PERATURAN

1. MEMBERI KEMUDAHAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA SAMA ADA MENGUNDI DI PERWAKILAN MALAYSIA ATAU SECARA POS

1.1. Jawatankuasa menyusul cadangan dalam Laporan Jawatankuasa (DR.3/2011) untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama ada mengundi awal di Perwakilan Malaysia atau mengundi secara pos.

1.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi di Perwakilan Malaysia adalah sukar bagi SPR untuk melaksanakannya berdasarkan sistem pilihan raya sedia ada dan isu logistik. Pandangan ini turut disokong dengan maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri.

1.3. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan SPR untuk mengkaji kemungkinan untuk membenarkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara untuk mengundi secara pos tertakluk kepada syaratsyarat tertentu.

1.4. Jawatankuasa mengambil maklum syarat-syarat yang dicadangkan oleh SPR seperti yang berikut:

(a) Telah mendaftar sebagai pemilih; dan

(b) Hendaklah balik ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima (5) tahun terdahulu sehingga pada tarikh memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos.

1.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR berbincang dengan pihak-pihak berkuasa terlibat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini diterima oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan syarat-syarat tersebut dikuatkuasakan melalui penggubalan kerangka undang-undang yang berkaitan.

1.6. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini juga akan melibatkan pindaan pada seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

1.7. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji suatu kaedah lain yang melibatkan penghantaran kertas undi melalui pos terus kepada pengundi di luar negara dan penghantaran balik kertas undi itu dibuat melalui pejabat Perwakilan Malaysia untuk dihantar terus ke Ibu Pejabat SPR bagi proses pengiraan undi dan proses seterusnya.

2. MEMBERI KEMUDAHAN MENGUNDI SECARA POS KEPADA PETUGAS SPR DAN MEDIA

2.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan agar SPR mengkaji sama ada membenarkan petugas media untuk mengundi awal atau pun mengundi secara pos.

2.2. Jawatankuasa mengambil maklum kaedah pengundian bagi petugas SPR adalah secara pos.

2.3. Jawatankuasa mengambil maklum ulasan SPR supaya petugas media diberi kemudahan mengundi secara pos yang akan diwartakan di bawah Peraturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

2.4. Jawatankuasa mengambil maklum semua petugas media yang disahkan oleh majikan sebagai petugas media dan kena bertugas pada hari mengundi di luar kawasan pendaftarannya yang berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah memohon untuk berbuat demikian melalui Borang 1 (Permohonan bagi Kertas Undi Pos) menurut
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

2.5. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

2.6. Jawatankuasa mengesyorkan petugas media diberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

3. PENGUNDI LUAR KAWASAN

3.1. Jawatankuasa menyusuli syor dalam Laporan Jawatankuasa (DR.3/2011) supaya SPR menyediakan kemudahan kepada pengundipengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya terutama daripada Sabah dan Sarawak serta pengundi dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya.

3.2. Jawatankuasa mengambil maklum kesukaran SPR untuk mengendalikan pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya kerana ia melibatkan urusan logistik yang rumit, tenaga kerja yang terhad dan undang-undang sedia ada tidak
membenarkan seseorang pemilih mengundi di tempat mengundi yang bukan namanya didaftarkan.

3.3. Jawatankuasa mengambil maklum kehendak Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan warganegara yang bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu. Manakala Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 hanya membenarkan seseorang pengundi mengundi di tempat mengundi yang bahagian daftar pemilih yang mengandungi namanya telah diuntukkan.

3.4. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini memerlukan kajian dibuat sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda berhubung dengan isu pemastautinan selain pindaan kepada mana-mana peraturan yang berhubung dengan pilihan raya.

3.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik seperti tatacara yang dicadangkan untuk pengundian warganegara Malaysia di luar negara bagi pengundi yang berada di luar kawasan termasuk kaedah pengundian awal tertakluk kepada apa-apa pindaan undang-undang yang berkenaan.

4. MEMBENARKAN PRAPENDAFTARAN SESEORANG WARGANEGARA UNTUK DIDAFTARKAN SEBAGAI PEMILIH APABILA MENCAPAI UMUR 20 TAHUN

4.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang warganegara yang layak memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih hanya apabila seseorang itu mencapai umur 21 tahun.

4.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara apabila mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih dan hanya dibenarkan mengundi apabila seseorang warganegara itu mencapai umur 21 tahun.

4.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan pindaan hendaklah dibuat kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

4.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji cadangan ini untuk dilaksanakan dalam tempoh Parlimen Ketiga Belas.

5. TARIKH PEMBUBARAN PARLIMEN

5.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa di bawah Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

5.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa terdapat cadangan tarikh Parlimen dibubarkan dinyatakan dalam peruntukan undang-undang bagi memudahkan persediaan oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya.

5.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen bukan merupakan kuasa SPR mengikut peruntukan undang-undang dan turut mengambil maklum bahawa kuasa SPR hanya dalam menetapkan tarikh pilihan raya setelah Parlimen dibubarkan.

5.4. Jawatankuasa mengesyorkan tempoh Parlimen hanya boleh dibubarkan selepas mencapai tempoh 4 tahun dan hendaklah diperuntukkan dalam undang-undang.

6. KERAJAAN SEMENTARA (CARETAKER GOVERNMENT)

6.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan diwujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah sebaik selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara kerajaan yang baru dibentuk.

6.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini dibentangkan dapat menyediakan suatu garis panduan dan kod etika tatalaku (code of conduct) terpakai bagi mana-mana pihak yang kena menjalankan fungsi kerajaan sementara sehinggalah suatu kerajaan yang baru dibentuk di peringkat Persekutuan atau negeri.

7. PENGUATKUASAAN PERATURAN SEDIA ADA BERHUBUNG KESALAHAN MEMBERIKAN MAKLUMAT PALSU DALAM URUSAN PENDAFTARAN

7.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan menguatkuasakan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran.

7.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa terdapat kemungkinan maklumat palsu diberikan dalam urusan-urusan seperti yang berikut:

i) urusan pertukaran alamat mastautin di JPN; dan

ii) urusan pertukaran alamat kawasan pendaftaran di SPR, yang merupakan kesalahan di bawah Akta 5 dan peraturan sedia ada.

7.3. Jawatankuasa mengambil maklum adanya peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang mengadakan peruntukan kesalahan bagi mana-mana orang yang memberi maklumat palsu dalam urusan pendaftaran pemilih dan pertukaran alamat dalam kad pengenalan.

7.4. Jawatankuasa mengambil maklum SPR dalam menguatkuasakan Akta 5 adalah bergantung kepada kerjasama pihak berkuasa lain seperti polis.

7.5. Jawatankuasa mengambil maklum terdapatnya peruntukan di bawah Akta 5 dan Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 masing-masing berhubung dengan kesalahan memberikan maklumat palsu dalam permohonan pendaftaran dan permohonan pertukaran alamat di kad pengenalan.

7.6. Jawatankuasa mengesyorkan perjawatan tambahan diwujudkan bagi menubuhkan suatu pasukan penguat kuasa khas SPR dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa SPR tanpa lagi perlu bergantung kepada pihak berkuasa lain.

(II) MENAMBAH BAIK PROSES PILIHAN RAYA

8. MEMANJANGKAN TEMPOH BERKEMPEN

8.1. Jawatankuasa mengambil maklum subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 memperuntukkan tempoh minimum 7 hari bagi maksud berkempen.

8.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan supaya SPR menetapkan suatu tempoh berkempen yang lebih panjang dalam sesuatu pilihan raya bagi memberi ruang berkempen yang lebih lama dan pada masa yang sama urusan mengembalikan undi pos dapat dibuat dengan wajar.

8.3. Jawatankuasa juga mengambil maklum pandangan berbeza bahawa tempoh berkempen yang terlalu panjang mendatangkan kesukaran kepada aktiviti berkempen di sesetengah bahagian pilihan raya di samping kos yang tinggi.

8.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengambil kira semua pandangan yang diberikan dalam menentukan suatu tempoh berkempen menurut peruntukan undang-undang dengan tempoh tidak kurang daripada 10 hari.

9. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN SAKSAMA

9.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan akses media yang bebas dan saksama diberi kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

9.2. Jawatankuasa mengambil maklum kesediaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memberikan akses yang adil kepada semua parti dan calon yang diselaraskan oleh SPR.

9.3. Jawatankuasa mengesyorkan SPR meneliti Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan yang boleh meminta pihak berkuasa awam untuk memberikan apa-apa bantuan yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya termasuk Kementerian dan agensi berkaitan berhubung dengan hal perkara yang melibatkan akses
media yang bebas dan saksama kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

(III) MENINGKATKAN MUTU DAFTAR PEMILIH

10. PEMBERSIHAN DAFTAR PEMILIH YANG BERTERUSAN

10.1. Jawatankuasa menyusuli syor dalam Laporan Jawatankuasa (DR.3/2011) untuk MIMOS menjalankan verifikasi terhadap daftar pemilih dengan kerjasama SPR dan JPN.

10.2. Jawatankuasa mengambil maklum hasil verifikasi oleh MIMOS itu menunjukkan usaha pembersihan daftar pemilih secara berterusan dijalankan oleh SPR dengan kerjasama JPN. Hasil verifikasi oleh MIMOS mendapati tidak wujud pendaftaran berganda (duplicate registration) bagi setiap nombor kad pengenalan 12 angka (KP12) yang dikeluarkan oleh JPN.

10.3. Jawatankuasa mengambil maklum terdapat di kalangan anggota polis dan tentera yang masih belum memohon MyKad atau MyTentera. Sehingga 20 Mac 2012, terdapat sebanyak 483 rekod anggota polis dan 653 rekod anggota tentera dalam daftar pemilih SPR yang belum mempunyai nombor KP12.

10.4. Jawatankuasa mengesyorkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia memantau dan mengambil tindakan berkenaan perkara yang disebut di perenggan 10.3 dalam tempoh 60 hari dari tarikh laporan ini dibentangkan di Dewan Rakyat.

10.5. Jawatankuasa juga mengesyorkan SPR memberi keutamaan kepada usaha berterusan untuk membersihkan daftar pemilih dengan kerjasama JPN bagi memastikan daftar pemilih yang akan digunakan bagi mana-mana Pilihan Raya adalah mantap dan bermutu tinggi dari segi kualiti kesahihan dan integriti maklumat (terkini dan sebagainya).

10.6. Jawatankuasa mengesyorkan supaya suatu agensi bebas dan bertauliah seperti MIMOS dapat membantu menyemak daftar pemilih secara berterusan bagi mempertingkat usaha pembersihan daftar pemilih.

11. PENELITIAN DAFTAR PEMILIH BAGI ALAMAT-ALAMAT YANG MEMPUNYAI RAMAI PEMILIH BERDAFTAR

11.1. Jawatankuasa mengambil maklum hasil verifikasi oleh MIMOS mendapati 324 alamat yang mempunyai lebih 100 orang pemilih dan 938 alamat yang mempunyai antara 51 hingga 100 orang pemilih. Dalam
penelitian Jawatankuasa Kecil Usaha Menambah Baik Daftar Pemilih, antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah seperti yang berikut:

i) alamat pendaftaran pemilih yang tidak lengkap;

ii) alamat pendaftaran pemilih yang terlalu umum yang menggunakan alamat seperti ‘kampung’, ‘rumah pangsa’, ‘rumah panjang’ dan ‘jalan’ tanpa butiran nombor rumah
yang kebanyakkan berlaku di kawasan luar bandar; iii) alamat pendaftaran pemilih yang dikongsi seperti alamat tempat asal/kelahiran atau alamat rumah yang disewa yang
tidak dikemas kini setelah berpindah; dan

iv) alamat pendaftaran “pinjaman” iaitu alamat yang digunakan oleh seseorang pemilih untuk membolehkan didaftarkan di sesuatu kawasan pendaftaran yang dikehendaki.

11.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mempamerkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh laporan ini dibentangkan senarai pemilih yang alamatnya diragui di mana terdapat melebihi 50 pengundi di satu alamat yang sama untuk memaklumkan kepada pemilih yang terlibat supaya mereka boleh tampil kepada SPR serta membolehkan SPR mengemas kini dan membersihkan senarai tersebut.

11.3. Hasil kerja penyemakan hendaklah dilaporkan kepada Jawatankuasa yang dicadangkan di perenggan 10.7.

12. BANTAHAN TERHADAP DAFTAR PEMILIH YANG TELAH DIPERAKUI MELALUI ADUAN ATAU MAKLUM BALAS DARIPADA PARTI POLITIK, PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN DAN SEBAGAINYA

12.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan membolehkan bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui dibuat melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

12.2. Jawatankuasa mengambil maklum peraturan sedia ada hanya membenarkan bantahan dibuat terhadap nama pemilih yang dipamerkan semasa Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.

12.3. Jawatankuasa mengambil maklum daftar pemilih yang telah diperakui boleh dibuat pemotongan atas alasan kematian dan lucutan atau tolakan warganegara setelah Ketua Pendaftar berpuas hati mengenai alasan itu yang disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

12.4. Jawatankuasa mengambil maklum SPR tidak mempunyai kuasa untuk memotong nama pemilih yang telah disahkan daripada daftar pemilih atau memindahkan pemilih dari suatu bahagian pilihan raya ke suatu bahagian pilihan raya yang lain hanya berdasarkan kepada aduan mana-mana pihak.

12.5. Jawatankuasa mengesyorkan suatu peruntukan undang-undang dikaji untuk memberikan SPR kuasa untuk memotong nama pemilih yang telah disahkan daripada Daftar Pemilih Induk (DPI) atau memindahkan pemilih dari suatu bahagian pilihan raya ke suatu bahagian pilihan raya yang lain berdasarkan kepada aduan yang dikemukakan oleh pihak
awam dengan bukti yang sah.

13. KAJIAN KE ARAH PENDAFTARAN SECARA AUTOMATIK

13.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun.

13.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk melaksanakan pendaftaran automatik ini memerlukan pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

13.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa cadangan ini mempunyai asas yang baik, namun ia hanya boleh dilaksanakan dalam jangka masa panjang memandangkan usaha pembersihan daftar pemilih secara keseluruhan perlu diutamakan. Siasatan lanjut mengenai daftar pemilih yang diragui seperti yang dibangkitkan di negeri Sabah serta syor
Jawatankuasa berhubung dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu dilaksanakan supaya mencapai matlamat daftar pemilih yang diyakini oleh semua pihak sebelum terlaksananya cadangan pendaftaran secara automatik.

13.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR membuat kajian dan mengambil tindakan dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan pada masa hadapan.

14. PENGGUNAAN ALAMAT SELAIN ALAMAT MASTAUTIN PADA KAD PENGENALAN SEBAGAI ALAMAT PENDAFTARAN UNTUK MENENTUKAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA

14.1. Jawatankuasa mengambil maklum senario semasa yang mana jumlah pengundi di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak semakin berkurangan kerana penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar untuk mendapatkan pekerjaan.

14.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk menggunakan alamat selain alamat di kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan kawasan pendaftaran.

14.3. Jawatankuasa mengambil maklum jika cadangan ini dilaksanakan, implikasinya adalah seperti yang berikut:

i) Jika alamat selain alamat di kad pengenalan digunakan, kemungkinan alamat itu tidak dapat disahkan melalui apa-apa dokumentasi yang sah;

ii) Ada kemungkinan orang mendaftar menggunakan alamat yang dia tidak bermastautin; dan

iii) Ada kemungkinan terdapatnya peningkatan bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan atas alasan orang itu tidak bermastautin di alamat yang digunakan jika alamat selain alamat di kad pengenalan digunakan.

14.4. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa warganegara yang layak mendaftar mempunyai hak untuk memilih mendaftar di mana kawasan pendaftaran berpandukan kepada alamat terkini seperti di kad pengenalan. Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana orang untuk menukar alamat di kad pengenalannya di JPN jika dia telah berpindah
ke alamat yang lain. SPR tidak boleh mengambil apa-apa tindakan untuk menukar kawasan pendaftaran mana-mana orang jika orang itu enggan menukar alamat di kad pengenalannya.

14.5. Jawatankuasa mengesyorkan supaya parti-parti politik memainkan peranan dalam menasihatkan pemilih menukarkan alamat pendaftaran yang wajar di JPN sebelum mendaftar sebagai pemilih baru atau mendaftar tukar alamat pusat mengundi dengan SPR.

14.6. Jawatankuasa turut mengesyorkan supaya SPR mengkaji tatacara dan implikasi peraturan yang diamalkan di negara lain yang membolehkan pengundi memilih antara alamat tetap (kampung asal atau tempat lahir) atau alamat tempat bekerja (place of employment) sebagai alamat pendaftaran pengundi khususnya di Sabah dan Sarawak.

(IV) MEMPERKUKUHKAN KEDUDUKAN SPR

15. MEMPERKASAKAN KEDUDUKAN SPR

15.1. Jawatankuasa mengambil maklum penubuhan SPR di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan yang dianggotai oleh tujuh (7) orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira peri mustahaknya mendapat kepercayaan awam.

15.2. Jawatankuasa mengambil maklum pandangan dan maklum balas yang mempersoalkan kebebasan SPR.

15.3. Jawatankuasa mengesyorkan bagi menolak dakwaan tentang ketidakbebasan SPR, pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Anggota-anggota SPR dijalankan sebagaimana pelantikan yang dibuat bagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi.

15.4. Jawatankuasa turut mengesyorkan SPR diberi kuasa mengadakan bajetnya sendiri dan diletakkan dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi memastikan isu kebebasan SPR tidak lagi dipersoalkan.

15.5. Jawatankuasa juga mengesyorkan suatu Suruhanjaya Perkhidmatan ditubuhkan untuk melantik pegawai sendiri dan diwujudkan suatu skim perkhidmatan khusus kepada pegawai dan anggota perkhidmatan SPR.

16. PENSTRUKTURAN DAN PENGUKUHAN SPR

16.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa SPR dalam menjalankan fungsinya di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memerlukan bantuan dari pihak-pihak lain. Kuasa untuk mendapatkan bantuan ini diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan pegawai-pegawai yang dibuat di bawah Akta Pilihan Raya 1958.

16.2. Jawatankuasa mengambil maklum sumber manusia yang terhad di SPR dan kebergantungan SPR dengan pihak lain dalam menjalankan fungsinya itu.

16.3. Jawatankuasa mengambil maklum dari pemerhatian Lawatan Kerja ke UK, Jerman dan Denmark, tiga fungsi utama SPR itu dijalankan oleh badan yang berasingan.

16.4. Jawatankuasa mengesyorkan berdasarkan kepada beban dan bidang tugas SPR yang luas, organisasi SPR perlu distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak yang lain, keperluan sumber manusia SPR ditambah dan perjawatan sedia ada dinaik taraf serta peruntukan kewangan yang mencukupi diperuntukkan sesuai dengan peranan, tanggungjawab, bebanan dan cabaran semasa.

17. MEMPERLUASKAN AKADEMI PILIHAN RAYA

17.1. Jawatankuasa mengambil maklum wujudnya Akademi Pilihan Raya sejak tahun 2007 dengan sumber manusia, peruntukan kewangan dan kemudahan yang terhad dalam menjalankan fungsinya termasuklah pendidikan pengundi, kesedaran mengundi dan latihan kepada petugas pilihan raya.

17.2. Jawatankuasa mengambil maklum keperluan memperkasa Akademi Pilihan Raya dengan menambah sumber manusia, peruntukan kewangan serta diwujudkan bangunan khusus untuk menempatkan Akademi Pilihan Raya yang dilengkapi dengan kemudahan pusat latihan sebagaimana pusat latihan jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

17.3. Jawatankuasa mengesyorkan Kerajaan menambah sumber manusia, peruntukan kewangan dan kemudahan Akademi Pilihan Raya bagi memastikan matlamat penubuhan Akademi Pilihan Raya, khususnya dalam memberi pendidikan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya termasuklah warganegara Malaysia tentang hak mengundi dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

17.4. Jawatankuasa turut mengesyorkan suatu Lembaga Penasihat yang dianggotai oleh pelbagai parti politik dan wakil NGO bagi memberi pandangan/nasihat kepada Akademi Pilihan Raya.

18. PENGASINGAN FUNGSI UTAMA SPR

18.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa tiga fungsi utama SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan adalah menjalankan pilihan raya, menguruskan pendaftaran pemilih dan mengkaji semula bahagian pilihan raya.

18.2. Jawatankuasa mengesyorkan sebagai langkah jangka panjang, cadangan tiga fungsi utama SPR iaitu untuk menjalankan pilihan raya, menguruskan pendaftaran pemilih dan mengkaji semula bahagian pilihan raya diasingkan kepada tiga badan yang bebas.

(V) PERSEMPADANAN, PEMBIAYAAN POLITIK DAN SISTEM ALTERNATIF

19. PENGAGIHAN KERUSI DEWAN RAKYAT BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK

19.1. Jawatankuasa mengambil maklum terdapat cadangan supaya jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat diseimbangkan di antara kerusi bagi Semenanjung dengan kerusi negeri Sabah dan Sarawak seperti mana diperuntukkan dalam dokumen Inter-Govenment Committee (IGC) semasa penubuhan Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura memperolehi 34 peratus daripada kerusi di Dewan Rakyat pada penggal tersebut.

19.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa cadangan diperuntukkan 34 peratus daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat adalah bagi memastikan kuasa seimbang boleh digunakan oleh mana-mana wakil Sabah dan Sarawak bagi memastikan suara dan kepentingan yang melibatkan negeri Sabah dan Sarawak dalam semua hal yang berkaitan undang-undang dapat dipertahankan.

19.3. Jawatankuasa mengesyorkan suatu kajian terperinci dibuat atas cadangan di atas untuk dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip pembentukan Malaysia.


20. PERSEMPADANAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA YANG SEIMBANG

20.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan urusan kajian persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri mengambil kira keseimbangan jumlah pemilih termasuk wajaran kawasan luar bandar (rural weightage) dan juga memenuhi prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’.

20.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’ dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar (rural weightage).

20.3. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

21. PERUNTUKAN DANA KEPADA PARTI POLITIK

21.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan agar Kerajaan mengadakan peruntukan dana kepada parti politik mengikut jumlah kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya dalam usaha untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini serta membendung gejala rasuah oleh ahli politik dalam pilihan raya.

21.2. Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa mekanisme pelaksanannya perlu dikaji secara mendalam memandangkan ia melibatkan implikasi kewangan Kerajaan serta pindaan kepada aspek perundangan. Perkara ini wajar diberi perhatian untuk dilaksanakan dalam jangka masa panjang.

21.3. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk setiap parti politik mengisytiharkan apa-apa sumbangan yang diterima dari mana-mana sumber semasa kempen pilihan raya.

21.4. Jawatankuasa mengesyorkan Kerajaan mengadakan peruntukan dana dan menggubal formula yang sesuai bagi parti politik dan calon yang menang mengikut jumlah kerusi yang dimenangi dan undi yang diperolehi dalam pilihan raya mengikut agihan 50% untuk kerusi yang dimenangi dan 50% untuk jumlah undi yang diperolehi, tertakluk kepada
apa-apa pindaan undang-undang yang berkenaan dan juga kaedah yang akan digubal.

22. SISTEM PILIHAN RAYA BARU

22.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang ialah Sistem Majoriti Mudah (First-Past-The-Post).

22.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah (First-Past-The-Post) sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti sistem campuran (First-Past-The-Post dan Proportionate Representation) atau Sistem Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation).

22.3. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR meneliti cadangan ini kerana ia merupakan perkara yang melibatkan dasar yang perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan dan melaporkan semula kepada Jawatankuasa seperti di perenggan 10.7.

RUMUSAN JAWATANKUASA

Jawatankuasa mengesyorkan semua syor yang terkandung dalam laporan ini dipertimbangkan bagi menambah baik proses pilihan raya dan mengukuhkan SPR bagi menjamin proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Tiada ulasan: