Khamis, 15 Mac 2012

Projek USD20 bilion: Dialog Berhad anak emas Petronas?

Azmin Ali mendakwa syarikat ini tiada kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja cari gali minyak.


Sekitar Dewan Rakyat


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mempertikaikan tindakan Petronas menganugerahkan kontrak bagi projek memproses minyak di Johor bernilai USD20 bilion kepada Dialog Berhad.

Azmin mendakwa projek ‘Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor itu nanti akan membabitkan
pengambilan tanah melibatkan tujuh buah kampung dan lebih 900 keluarga.

Malah sebelum ini Dialog Berhad turut dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor pada Oktober tahun lalu dengan nilai hampir RM400 juta dan pegangan saham 40.7 peratus selain kontrak Risk Service bagi pembangunan Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD1 bilion.

Bagaimanapun Azmin mendakwa syarikat ini tiada kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja cari gali minyak.

“Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32 peratus, Petronas Carigali 20 peratus dan Australia ROC Oil 48 peratus.

“Persoalannya mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas Carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia,” soalnya dalam Dewan Rakyat semalam.

Mempersoalkan hubungan Petronas dengan Dialog Berhad, Timbalan Presiden PKR ini berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sedehana (IKS) dalam industri petroleum melalui program pembangunan vendor.

Malangnya, menurut Azmin pengurusan baru Petronas telah membekukan program pembangunan vendor dan memansuhkan status kategori terhad.

Petronas juga katanya tidak memberikan galakan kepada IKS untuk membina kemudahan pembuatan berbanding dengan dasar di Korea yang memberikan insentif untuk vendor dalam industri petroleum sehingga kualiti produk minyak dan gasnya mampu bersaing dengan negara Eropah.

Pengurusan baru Petronas juga telah menyekat peluang syarikat bumiputera yang berupaya dan berpengalaman untuk membekalkan produk minyak dan gas melalui pembekuan lesen dengan membenarkan hanya anak syarikat Petronas, MITCO memonopoli perolehan produk minyak dan gas sekaligus membunuh perkembangan IKS,” katanya.

Masalah pengeluaran

Selain itu, Azmin mendakwa Petronas kini mengalami masalah untuk mengekalkan tahap pengeluaran petroleum apabila pengeluaran petroleum di Sudan Selatan yang mencatatkan 135,000 tong sehari terpaksa dihentikan ekoran pertikaian yuran transit dengan Sudan Utara.

Beliau berkata Petronas juga menghadapi masalah yang serius dalam kerja-kerja carigali minyak di Kikeh, Sabah sehingga menyebabkan pengeluaran petroleum di Sabah merudum sebanyak 17 peratus.

“Petronas juga telah gagal menyiapkan kemudahan platform pengeluaran minyak di Gemusut, Kakap, Sabah yang sepatutnya mula mengeluarkan minyak pada tahun 2010.

“Malangnya kemudahan ini dijangka siap pada tahun 2014,” katanya.

Tiada ulasan: