Khamis, 15 Mac 2012

Azmin: Apakah sebenarnya Wasatiyyah?

Azmin Ali


Tan Sri Yang Di Pertua,

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Kedua Belas dan saya mengucapkan terima kasih atas peluang untuk turut serta dalam perbahasan.

2. KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendukung titah Tuanku agar patuh kepada undang-undang berperlembagaan serta menghormati kebebasan dan hak asasi rakyat. Kami juga mendukung sepenuhnya saranan Tuanku dalam isu kebebasan sistem kehakiman yang menjadi teras penting kepada sistem demokrasi. Pakatan Rakyat konsisten bahawa pemahaman undang-undang yang luhur serta tatakelola yang selaras dengan prinsip pengasingan kuasa akan menjadi tunjang kepada pembangunan sebuah negara yang demokratik, adil dan sejahtera.

3. Saya terpanggil untuk mengungkap citra politik ideal yang dipadankan dengan ungkapan moderation atau wasatiyyah. Prinsip wasatiyyah, bukannya perkara baru dalam Islam.

4. Pada 7 Disember 1975, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM ke 4 yang bertemakan "Jelas Wadah, Perbaru Tekad", Anwar Ibrahim mula mencetuskan satu gagasan baru Wasatiyyah untuk membawa umat memahami dan menghayati prinsip kesederhanaan dalam masyarakat.

5. Pada tahun 1978, Anwar telah mengupas prinsip wasatiyyah dalam kertas kerjanya yang berjudul "Islam dan Masyarakat Majmuk" di Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang.

6. Pada 9 Ogos 1981, sekali lagi Anwar Ibrahim membawa tema wasatiyyah dalam ucapan dasarnya yang bertajuk "Membina Generasi, Satu Gagasan" ketika merasmikan Muktamar ABIM ke 10 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

7. Apabila beliau menyertai kerajaan, Anwar Ibrahim telah mengupas secara terperinci dan meniup nafas baru kepada prinsip Wasatiyyah melalui penulisannya yang terkandung dalam buku "Gelombang Kebangkitan Asia". Wasatiyyah ataupun prinsip awsatuha ini juga meraikan nilai sejagat seperti yang diungkapkan oleh Konfucius iaitu prinsip Chun Yung dan juga tradisi Greek The Golden Mean yang terkandung dalam Nichomacean Ethics yang ditulis Aristotle. Saya yakin, tatkala Anwar Ibrahim mengungkapkan wasatiyyah ini baik di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa, Najib Razak baru mula bertatih mempelajari apa itu wasatiyyah dan baru beberapa hari lalu beliau berani mengungkapkan prinsip wasatiyyah.

8. Pakatan Rakyat turut mendukung dan menghayati prinsip wasatiyyah ini. Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng mengambil inisiatif untuk melancarkan terjemahan Buku Dr.Sheikh Yusuf Qardawi oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang bertajuk "Wasatiyyah" sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 2010.

9. Fakta sejarah yang terbentang ini membuktikan bahawa Ketua Pembangkang tuntas mempertahankan prinsip wasatiyyah dan beliau lah sebenarnya The Ardent Moderates dan bukannya Perdana Menteri.

10. Wasatiyyah harus dimanifestasikan dalam semua bidang kehidupan - politik, ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk tatakelola pentadbiran negara. Wasatiyyah tidak boleh sekadar menjadi ungkapan dan retorika yang dicandukan kepada masyarakat untuk menjustifikasikan amalan boros, rasuah dan penyelewengan.

11. Wasatiyyah menolak pendekatan yang keras dan zalim serta menawarkan pendekatan santun, ramah dan persuasif. Begitu juga dengan umat wasat (tengah) dengan pengertian umat yang adil dan seimbang.

12. Wasatiyyah dalam politik adalah politik yang dilaksanakan dengan menghormati prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat. Hal ini bermakna konsep wasatiyyah juga merangkumi perihal demokrasi dan undang-undang berperlembagaan. Oleh kerana rakyat adalah sumber kekuasaan dalam sebuah negara yang demokratik, maka keabsahan atau kesahihan sesuatu pemerintahan tergantung kepada kerelaan rakyat.

13. Pengiktirafan konsep wasatiyyah ke atas prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat ini memperlihatkan betapa asas demokrasi berperlembagaan adalah penting dalam aplikasi moderasi yang mahu dibawa dalam agenda politik baru Malaysia. Menghormati hak asasi dan kebebasan serta berbeza pendapat dengan harmoni adalah kesederhanaan yang memenuhi citra politik bagi sebuah masyarakat yang majmuk.

14. Ketuanan rakyat adalah suatu contoh terbaik wasatiyyah politik. Politik perkauman sempit dan pelampau harus dihindari demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang bersifat rencam. Kepelbagaian dan perbezaan yang muncul harus diraikan secara inklusif serta dirangkul sebagai satu kelebihan bagi sebuah negara majmuk.

15. Inilah "wasatiyyah tulen" berbanding kesederhanaan yang dicanang oleh UMNO. Wasatiyyah yang ditaja oleh UMNO tidak menepati tuntutan Islam.

16. Apakah ianya menepati prinsip wasatiyyah apabila UMNO membudayakan politik fitnah dan budaya samseng? Apakah ianya menepati tuntutan wasatiyyah apabila Indeks Pesepsi Rasuah merudum untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 mata. Ini membawa Malaysia jatuh ke tangga ke-60 daripada 183 buah negara berbanding tangga ke 37 pada tahun 2003 ketika di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Apakah wasatiyyah yang dibawa oleh UMNO apabila dasar flip-flop menjadi teras kepimpinan Perdana Menteri. Kepimpinan flip-flop ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan untuk mempertahankan keputusan dan kegagalan mempertahankan keputusan ini adalah kerana ia dibuat tanpa sebarang perundingan untuk kepentingan rakyat.

Tan Sri Yang Di Pertua,

17. Perdana Menteri telah mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan dalam masa yang sama mengumumkan akan menambahbaik Sistem Saraan Malaysia (SSM).

18. Penjawat awam hanya diberikan tempoh dua minggu untuk membuat opsyen sehingga 31 Disember 2011, sebelum skim ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2012.

19. Kontroversi timbul apabila berlaku keadaan di mana perbezaan ketara pelarasan gaji antara kumpulan Sokongan, kumpulan Pengurusan & Profesional, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lapisan baharu yang diwujudkan, iaitu kumpulan Premier.

20. Pertama, mengapakah dasar ini digubal dan dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan penjawat awam melalui kesatuan-kesatuan pekerja perkhidmatan awam sedangkan mereka adalah stakeholder dalam kumpulan tersebut? Ini adalah penting untuk memastikan proses perundingan berlaku dengan menepati kehendak dan kepentingan golongan yang terlibat.

21. Kedua, mengapakah di saat majoriti penjawat awam yang memilih opsyen SBPA dinafikan hak mendapatkan gaji dan emolumen baru di bawah SBPA, tetapi kumpulan Premier yang difahamkan seramai 36 orang melibatkan jawatan-jawatan kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara telahpun dibayar gaji dan emolumen di bawah SBPA. Justeru itu, saya menuntut supaya kerajaan menyatakan dalam dewan yang mulia ini jumlah yang telah dibayar di bawah skim ini dan siapakah penjawat awam yang telah menerima habuan tersebut.

Saya bertegas bahawa kerajaan harus menyatakan pendirian mereka berkenaan status Kumpulan Premier ini? Saya difahamkan, mereka telahpun dibersarakan atas kepentingan perkhidmatan awam dan berkhidmat secara kontrak di bawah SBPA. Secara prinsipnya, dengan terbatalnya SBPA, kontrak mereka juga harus terbatal dan perlu memulangkan semua ganjaran gaji dan emolumen yang telah mereka peroleh.

Tan Sri Yang Di Pertua,

23. KEADILAN dan Pakatan Rakyat, menegaskan bahawa pembatalan SBPA ini adalah satu kejayaan hasil manifestasi suara rakyat khususnya penjawat awam yang diperjuangkan secara berterusan oleh Pakatan Rakyat. Kami konsisten bahawa suara rakyat harus didengar sebelum sesuatu dasar digubal dan dilaksanakan. Sikap kerajaan yang flip-flop ini adalah bukti keangkuhan pemerintah terhadap golongan yang terpenting dalam pentadbiran negara iaitu anggota perkhidmatan awam.

24. Saya percaya pegawai dan anggota Perkhidmatan Awam telah yakin bahawa Pakatan Rakyat telah melindungi kebajikan dan keadilan buat mereka. Pakatan Rakyat mempunyai dasar untuk perkhidmatan awam yang lebih baik demi memperkasakan perkhidmatan awam seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.

Tan Sri Yang Di Pertua

25. Selain daripada Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga harus menjadi perhatian dewan pada hari ini. Ini berikutan perencanaan yang hanya akan mendatangkan keuntungan kepada syarikat korporat dan sebaliknya menekan nasib rakyat di bawah.

26. Perdana Menteri dalam janji awalnya ketika mengambil alih pentadbiran negara telah menyatakan bahawa "…the era where the government knows the best is over." Ini menjadi lanjutan kepada janji beliau untuk melaksanakan dasar ekonomi yang berdaya saing dengan mengadakan tender terbuka dalam projek-projek kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat dan kerajaan. Namun begitu, hal yang berlaku adalah sebaliknya.

27. Saya mendesak kerajaan untuk memberikan penjelasan yang jujur dalam projek RAPID - Refinery and Petrochemical Integrated Development di Pengerang, Johor. Perdana Menteri mengumumkan projek yang bernilai USD20 bilion dalam keadaan yang tergesa-gesa di awal pagi. Apakah mekanisme untuk menjamin ketelusan faedah jangka panjang dan prinsip value for money dalam proses penganugerahan kontrak ini. Daripada sumber kuat dalaman Petronas dan juga daripada masyarakat industri oil and gas, projek yang bernilai USD 20 bilion ini akan dianugerahkan kepada Dialog Berhad. Sekiranya maklumat ini benar, apakah hubungan Dialog Berhad dengan pengurusan tertinggi Petronas?

28. Dialog Berhad dilihat sebagai anak emas kepada pengurusan tertinggi petronas. Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, apakah Petronas telah dijalankan feasibility studies dan juga risk management studies memandangkan projek ini bernilai besar bagi projek rapid dan apakah dasar tender terbuka akan dilaksanakan oleh Petronas dalam projek ini.

29. Saya juga ingin mengetahui status pengambilan tanah untuk projek RAPID yang melibatkan tujuh buah kampung dan lebih 900 keluarga. Apakah nilai pampasan yang dibayar kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah tersebut.

30. Pada Oktober 2011, Dialog Berhad telah dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor dengan nilai hampir RM 400 juta. Dialog Berhad diberikan pegangan saham sebanyak 40.7% sedangkan MISC hanya diberikan 33.3% dan China Aviation Oil (Singapore) diberikan 26%.

31. Petronas juga telah menganugerahkan Risk Service Contract bagi Balai Pembangunan Balai Cluster Marginal Field kepada Konsortium yang terdiri daripada Dialog Berhad, Petronas Carigali dan Australia ROC Oil.

32. Saya dimaklumkan Petronas mengalami masalah untuk mengekalkan tahap pengeluaran petroleum akibat faktor-faktor berikut: (1) Pengeluaran petroleum di Sudan Selatan yang mencatatkan 135,000 barrel terpaksa dihentikan ekorang pertikaian transit fee dengan Sudan Utara. (2) Petronas juga menghadapi masalah yang serius dalam kerja-kerja carigali minyak di Kikeh, Sabah dan memerlukan tempoh dua tahun untuk memperbaiki masalah ini. Kelewatan ini telah memberi kesan kepada pengeluaran petroleum di Sabah yang merudum sebanyak 17%. (3) Petronas juga telah gagal menyiapkan kemudahan platform pengeluaran minyak di Gemusut, Kakap, Sabah yang sepatutnya mula mengeluarkan minyak pada tahun 2010. Malangnya kemudahan ini akan dijangka siap pada tahun 2014.

33. Untuk mengekalkan pengeluaran petroleum, Petronas tidak boleh menggunakan teknologi carigali yang konvensional, tetapi meningkatkan teknologi pengeluaran termasuk kaedah EOR (Enhance Oil Recovery) di telaga-telaga minyak lama (brown field). Maka Petronas mula beralih fokus untuk menumpukan kerja-kerja carigali minyak di Marginal Field yang memerlukan kaedah dan teknologi carigali yang berbeza.

34. Saya dimaklumkan terdapat 106 marginal fields di Malaysia dan 22 daripadanya sudah tersedia untuk kerja-kerja carigali petroleum.

35. Sebelum ini kita mendengar bahawa kerajaan telah menganugerahkan Projek Berantai Marginal Field kepada Kencana dan Sapura untuk kerja-kerja fabrikasi dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pelaksanaan (EPCIC-Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning).

36. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, mengapa Dialog Berhad mendapat kontrak bagi Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD 1 Bilion sedangkan Balai Cluster tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja-kerja carigali minyak. Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32%, Petronas Carigali 20% dan Australia ROC Oil 48%. Persoalannya mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai memiliki keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia. Apakah kriteria pemilihan rakan kongsi dalam konsortium ini selain daripada teknologi dan keupayaan yang dimiliki oleh Petronas carigali dan Australia ROC Oil.

37. Kerajaan sepatutnya menggalakkan pertumbuhan IKS dalam industri petroleum melalui program pembangunan vendor. Malangnya, pengurusan baru Petronas telah membekukan program pembangunan vendor dan memansuhkan status kategori terhad yang memberi kesan parah terhadap perkembangan perniagaan vendor untuk menyertai industri ini. Petronas juga tidak memberikan galakan kepada IKS untuk membina kemudahan pembuatan berbanding dengan dasar yang diperkenalkan di Korea yang memberikan insentif untuk vendor dalam industri petroleum dan hari ini produk-produk Oil & Gas Korea boleh bersaing dengan kualiti dinegara-negara Eropah dengan harga yang berdaya saing.

38. Pengurusan Baru Petronas juga telah menyekat peluang syarikat-syarikat bumiputera yang mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk membekalkan produk-produk oil and gas melalui pembekuan lesen dengan membenarkan hanya MITCO, anak syarikat Petronas untuk memonopoli perolehan produk-produk Oil & Gas. Ini sekaligus membunuh perkembangan IKS. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memantau tingkah laku pengurusan Petronas yang baru yang dilihat tidak membantu perkembangan industri Oil & Gas tempatan.

Tan Sri Yang Di Pertua

39. Saya mohon perhatian dewan untuk meneliti isu Passenger Service Fee (PSF) yang dikenakan ke atas penumpang-penumpang Syarikat Penerbangan Air Asia. Pada masa ini, PSF yang dikenakan adalah sebanyak RM32 bagi penerbangan antarabangsa dan RM6 untuk penerbangan domestik. Penumpang Air Asia mengeluh berikutan proses kutipan PSF yang dulunya disebut sebagai Airport Tax dilihat tidak telus dan membebankan penumpang. Sekiranya penumpang membatalkan penerbangannya, mereka tidak perlu membayar yuran tersebut yang selama ini dibebankan kepada penumpang termasuk yang telah membatalkan penerbangannya.

40. Mengapa kerajaan membenarkan Air Asia untuk mengutip PSF ini sedangkan bayaran ini sepatutnya dibayar kepada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Seharusnya bayaran yuran ini dibuat di lapangan terbang menggunakan kupon atau mekanisme yang lebih berkesan.

41. Kerajaan harus bertanggungjawab untuk meneliti semula prosedur ini yang hanya memberikan keuntungan besar kepada Air Asia dan bukannya kepada MAHB. Justeru saya sekali lagi memohon dalam dewan yang mulia ini untuk kerajaan menyatakan jumlah kutipan PSF yang telah dikutip oleh Air Asia sejak ia mula beroperasi.

Tan Sri Yang Di Pertua

42. Pada tahun 1932, filasuf politik penting dari Jerman, Carl Schmitt menerusi karyanya The Concept of Political, cuba mengungkapkan apa intipati politik, atau dalam Bahasa Jerman-nya das politische.

Bagi Schmitt, politik itu adalah pertembungan di antara suatu pihak dengan pihak yang lain, di dalam suatu suasana atau keadaan sedang berperang. Dalam kata lain, politik itu suatu permusuhan tajam dan aktornya sudah siap sedia untuk berperang walau kesannya berat sekali.

42. Malah Schmitt berpandangan lebih keras apabila merasakan suatu keadaan yang aman itu menandakan dunia yang kehilangan nafasnya. Schmitt berpandangan dunia yang aman membuatkan rakyat kehilangan arah. Sungguhpun beliau akui keamanan akan menyemarakkan kebudayaan, ekonomi, kekuatan moral, undang-undang dan seni namun das politische yang berpaksikan keamanan meragut jiwa sesebuah negara mahupun politik. Justeru, filasuf Jerman itu mengangkat suatu aktor politik yang digelarnya, Reichsprasident, watak seumpama raksasa Leviathan dalam karya Hobbes. Watak tersebut punya kuasa luar dari Perlembagaan, punya wewenang untuk melakukan segala tanpa batas, dengan izin Tan Sri Yang di Pertua, "has the power to declare the exception."

43. Pandangan Schmitt ini tidak didokong Pakatan Rakyat. Muafakat politik dalam Pakatan Rakyat ini wujud, antaranya kerana mahu menewaskan UMNO-BN yang berulangkali "exercising the power to declare the exception" sekaligus menafikan hak rakyat. Makanya, dalam Dewan Yang Mulia ini, saya mahu tegaskan, masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia menolak regim yang memerintah sambil meremehkan hasrat rakyat.

44. Pasca 8 Mac 2008, kita menyaksikan Sistem Dwi Parti atau Two-Party System mulai subur di negara ini. Wujudnya persaingan dalam pentas politik membolehkan rakyat memilih perjuangan mana yang lebih bermakna buat mereka. Pastinya dengan Sistem Dwi Parti, tiada pihak yang punya "the power to declare the exception."

45. Pun demikian harus lah diambil perhatian Sistem Dwi Parti ini bukanlah bermakna kita menidakkan aktor politik ataupun organisasi lainnya bersaing. Ianya bukan didasari untuk memonopoli. Pakatan Rakyat sememangnya mengalu-alukan percambahan pemikiran dan upaya untuk memperkukuh peranan rakyat untuk membuat keputusan. Akan tetapi berhadapan raksasa usang yang bertaring tajam seperti mitos Leviathan, pastinya perlu segenap usaha dan daya digembeling semata-mata untuk menumpaskannya. Begitulah juga apabila berhadapan dengan UMNO-BN di arena politik. Permuafakatan Pakatan Rakyat memilih untuk berpencak dengannya di medan yang sama, iaitu medan politik.

46. Sungguhpun murni hasrat Pakatan Rakyat untuk memperkukuh Sistem Dwi Parti ini, ternyata ia masih berhadapan dengan mehnah pemerintah yang sememangnya sudah biasa membolot kuasa. Budaya samseng dalam politik UMNO kerana kegagalan mereka untuk mendepani isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang, kos kehidupan yang tinggi, gaji minima serta amalan boros dan rasuah. Atas sebab itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat ingin mengulangi gesaan kami supaya UMNO menghentikan budaya fitnah, gutter politics dan budaya samseng. Saya mengajak UMNO bersama-sama memberikan tumpuan kepada persoalan dasar dan program-program untuk kepentingan rakyat. Untuk maksud ini juga, saya mengulangi cabaran YB Permatang Pauh kepada Perdana Menteri untuk menerima pelawaan debat supaya dapat membuka ruang kepada rakyat membuat penilaian yang rasional dan sihat.

47. Lihat sahaja isu Palestin, pimpinan UMNO menyerlahkan sikap munafik politik dengan memadamkan fakta dan mengetengahkan kepalsuan sedangkan rakyat sedar hubungan UMNO dengan Zionis Israel melalui kontrak dengan APCO, Dagangan ke 15 terbesar, surat-surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel dan keengganan UMNO untuk mengiktiraf HAMAS sekaligus menafikan suara dan aspirasi rakyat Palestin.

48. InshaAllah, saya yakin Sistem Dwi parti akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan percayalah bahawa Pakatan Rakyat tidak memerlukan Machiavellian Politics untuk bersaing. Kita tidak memerlukan politik fitnah-memfitnah, politik perkauman sempit dan politik kekerasan sebagai talian hayat. Kita bersaing berasaskan hujah dan fakta. Oleh kerana itu kita menawarkan kepada rakyat dasar seumpama Buku Jingga, Agenda Bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat dan Belanjawan Pakatan Rakyat untuk kemaslahatan rakyat.

*Ucapan Menjunjung Kasih Titah DYMM Dewan Rakyat oleh Azmin Ali (gambar kiri) selaku ahli parlimen Gombak, merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: